MAHB Tolak Kempen LCCT2 AirAsia

Diterbitkan: Isnin, 13 Jun 2016 10:33 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyatakan klia2 bukan sebuah lapangan terbang bebas mahupun hab tetapi terminal kedua Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan merupakan satu komponen penting Hab KLIA.

"Walaupun klia2 ketika ini digunakan kebanyakannya oleh syarikat penerbangan tambang rendah, ia dibina bagi menyediakan perkhidmatan kepada semua jenis syarikat penerbangan kerana ia menyokong keseluruhan kapasiti KLIA," kata pengendali lapangan terbang itu bagi menjelaskan pendiriannya berkaitan dengan rancangan AirAsia untuk mempromosikan klia2 sebagai LCCT2 dan hab tambang rendah. 

Terdahulu pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengumumkan syarikat penerbangan itu akan melancarkan kempen untuk mempromosikan klia2 sebagai Terminal Penerbangan Tambang Rendah 2 (LCCT2),  mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk tambang rendah utama ke Asia dan di luar dari rantau ini. 

MAHB juga berkata, klia2 adalah nama yang berdaftar di bawah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa dan memanggilnya dengan nama yang lain akan menimbulkan salah faham dan kekeliruan kepada orang ramai dan penumpang.  

Menjelas lebih lanjut, MAHB berkata, di bawah pelan perniagaan lima tahunnya – Runway to Success 2020 -, ia berusaha untuk meletakkan KLIA sebagai hab bersepadu yang akan menyediakan hubungan tanpa had antara syarikat penerbangan, sama ada perkhidmatan penuh, hibrid atau tambang rendah. 

Ini sama dengan hab antarabangsa berjaya lain yang bergantung kepada semua jenis syarikat penerbangan beroperasi dalam satu sistem lapangan terbang tunggal. 

MAHB menamakan Dubai, Amsterdam, Istanbul, Hong Kong dan Singapura sebagai contoh hab utama yang hebat. 

Dalam hal Dubai dan Singapura, komponen trafik tambang rendah membentuk 26 peratus daripada jumlah trafiknya. Bagaimanapun, peratusan ini merupakan segmen kuantiti trafik antarabangsa yang lebih besar berbanding klia2. 

"Hab yang berjaya diukur pada tahap hubungan antarabangsa dan ia terbukti hanya boleh dicapai dengan memanfaatkan rangkaian penerbangan perkhidmatan penuh serta pakatan," kata MAHB. 

Apabila klia2 diilhamkan, ia adalah bertujuan untuk meningkatkan hubungan KLIA dan kedudukannya sebagai hab kompetitif dalam rantau ini. 

Terminal Utama KLIA dihubungkan ke seluruh dunia ke 1,026 destinasi menerusi 166 syarikat penerbangan, justeru, klia2 berada di kedudukan baik untuk memanfaatkan hubungan yang telah sedia ada ini.

Oleh sebab itu, penting untuk melihat dan menempatkan kedua-dua KLIA Utama dan klia2 bersama-sama sebagai Hab KUL atau satu sistem lapangan terbang bersepadu, dan bukannya menjadikan klia2 sebagai hab tambang rendah bebas. 

MAHB mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki. - Bernama

Tags / Kata Kunci: MAHB , KLIA2 , LCCT2

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan