'Colek' Kudapan Malam Ketika Ramadan

Diterbitkan: Isnin, 13 Jun 2016 10:50 AM

(Ubah saiz teks)

TANAH MERAH: 'Colek' atau kudapan malam sering mendapat permintaan tinggi terutama ketika Ramadan, sekali gus menceriakan suasana malam, sepanjang bulan penuh keberkatan ini di Kelantan.

Pelbagai colek seperti colek buah, ayam, kerang dan pelbagai lagi sering menjadi buruan buat penggemarnya terutama selepas solat tarawih.

Menariknya, perniagaan ini menjadi sumber pendapatan kepada pengusaha gerai makan yang tidak menjalankan perniagaan mereka pada siang hari, demi meraih rezeki ketika Ramadan.

Seorang peniaga Ahmad Faizul Muhammad Sakri, 35, berkata colek merupakan hidangan istimewa ketika Ramadan di Kelantan dan menjadi makanan tradisi sejak berkurun lamanya.

"Tidak hairanlah jika bulan kebiasaan terdapat kedai dan kawasan yang selalunya sunyi, akan menjadi meriah jika ada peniaga menjual colek di kawasan berkenaan.

"Malah, ia menjadi antara alasan kepada kanak-kanak untuk keluar pada waktu malam untuk membeli colek kerana kebiasannya, kanak-kanak tidak dibenarkan keluar pada waktu berkenaan," katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di Padang Siam di sini.

Ahmad Faizul berkata ketika menikmati colek, ia bukan sekadar dapat mengalas perut malah mampu menjadi mengeratkan silaturahim.

"Penggemar colek ini selalunya akan ke kedai bersama keluarga dan rakan-rakan mereka dan makan bersama-sama.

"Suasana dan kemeriahan itu bukan sahaja memberikan keuntungan kepada kami (peniagaan) malah ia adalah peluang terbaik mengeratkan silaturahim," katanya.

Seorang lagi peniaga Siti Norma Mohd, 40, berkata walaupun colek menjadi pilihan pada waktu malam, namun itu tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk menjual kudapan tersebut di bazar Ramadan.

"Colek juga boleh dijadikan sebagai pencuci mulut selepas berbuka puasa," katanya.

Tags / Kata Kunci: Colek , Ramadan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan