Malaysia Bincang Penggunaan MSSP Di Laut Sulu, Di Filipina

Diterbitkan: Isnin, 13 Jun 2016 11:15 PM

Hishammuddin Tun Hussein.

(Ubah saiz teks)

PELABUHAN KLANG: Penggunaan model rondaan bersama laut di Selat Melaka (MSSP) bagi menangani ancaman keselamatan di Laut Sulu akan dibincangkan di Manila, Filipina Ahad ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan bertemu rakan sejawatnya dari Indonesia dan Filipina bagi membincangkan penggunaan model itu di kawasan perairan berkenaan, yang sering menjadi tumpuan rompakan dan penculikan.

"Ancaman keselamatan di Laut Sulu tidak mampu ditangani oleh sesebuah negara sahaja...kerjasama ini merupakan satu usaha nasional dan memerlukan perbincangan di peringkat tertinggi.

"Saya akan ke Filipina pada Ahad ini, bersama Menteri Pertahanan Indonesia Jeneral Ryamizard Ryacudu untuk mengadakan perbincangan lanjut," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Terdahulu, Hishammuddin melakukan tinjauan udara di MSSP dan menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga KD Mahawangsa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Turut hadir, Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin. 

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata pelaksanaan MSSP telah memberi impak positif dengan penurunan ketara bagi kes pelanunan dan rompakan laut.

Pada 2004, sebanyak 37 kes dicatatkan manakala pada 2015, hanya tiga kes direkodkan sementara bagi Januari hingga Mei tahun ini, tiada sebarang kejadian rompakan laut dilaporkan, katanya.

MSSP ditubuhkan pada 2004 melibatkan penyertaan Singapura dan Indonesia, manakala pada 18 Sept 2008, Thailand secara rasmi turut menganggotai MSSP. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan