P.Pinang Sedia Kemuka Dokumen Cadangan Jambatan Ketiga

Diterbitkan: Ahad, 12 Jun 2016 1:30 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang bersedia mengemukakan semua dokumen berkaitan mengenai cadangan jambatan ketiga Pulau Pinang kepada Kementerian Kerja Raya jika kelulusan diberikan, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata pihaknya juga bersedia untuk menjalankan semua kerja teknikal dan spesifikasi yang diperlukan oleh kementerian.

"Kami sedia berikan apa sahaja maklumat yang kami ada termasuk pelan awal kerana sebelum ini ada satu pelan dalam zaman Datuk Seri S.Samy Vellu semasa beliau menjadi Menteri Kerja Raya untuk bina jambatan dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam.

"Kita boleh gunakan ia sebagai satu panduan dan juga kajian kebolehlaksanaan yang kita buat ke atas terowong dasar laut. Ini pun boleh diguna pakai, sama ... kerana kajian kebolehlaksanaan bukanlah berkaitan dengan spesifikasi, teknikal, struktur tetapi tentang kebolehlaksanaan projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan CitiTruck kepada Penang Science Cluster di Wisma Yeap Chor Ee, Ahad.

Pada Sabtu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kementeriannya komited kepada penilaian yang adil terhadap cadangan jambatan ketiga Pulau Pinang dan memohon kerjasama kerajaan negeri untuk berkongsi dokumen berkaitan.

Pada 26 Mei lepas, Lim menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memohon kelulusan bagi pembinaan jambatan ketiga menghubungkan Pulau Pinang dengan tanah besar sebagai respons kepada beberapa pertanyaan mengenai projek terowong dasar laut yang dicadangkan sebelumnya.

Lim berkata masalah utama adalah sumber kewangan kerana kerja-kerja teknikal dan spesifikasi memerlukan modal yang besar.

"Kalau tak ada sumber kewangan apa-apa pelan dan juga perancangan terbaik yang akhirnya pun akan gagal juga," katanya.

Katanya, beliau juga bersedia untuk berjumpa dengan Fadillah bagi menerangkan mengenai cadangan jambatan ketiga itu.

Sementara itu, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bahawa PAS kini giat mendekati Umno sebagai bukan sesuatu yang menghairankan.

Beliau berkata perkara itu memang sudah menjadi kenyataan sejak sekian lama dan hanya sekarang PAS tidak melakukannya secara curi-curi.

"Bukan sesuatu yang menghairankan memang kita dah tahu lama dah. Itu terpulang kepada PAS. Kalau mereka (PAS) nak bersama Umno saya ucapkan tahniah kepada mereka," katanya.

Pada Sabtu, akhbar melaporkan Nik Mohamad Abduh mengakui parti Islam itu kini giat mendekati Umno untuk menyakinkan bahawa dua parti Melayu Islam itu boleh bersatu kerana dasar kepentingan Islam, khususnya menerusi Rang Undang-undang Persendirian Akta 355.

"PAS bukan sahaja berniat malah berazam untuk bersatu dengan Umno kerana matlamat penubuhan parti adalah untuk menyatukan umat di atas jalan yang betul,"katanya. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Lim Guan Eng , Pulau Pinang , Jambatan ketiga

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan