Menara KL Bincang Dengan NGO Edar Makanan, Elak Pembaziran

Diterbitkan: Sabtu, 11 Jun 2016 11:54 AM

Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan (belakang) bersama Chef Ismail pada pelancaran 'Bufet Ramadan' 2016 di Menara KL, Jumaat. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur (Menara KL) sedang berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalin kerjasama dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan hidangan bufet di bulan Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata pihaknya bercadang untuk mengedar lebihan makanan atau makanan yang belum disentuh kepada mereka yang memerlukan melalui NGO berkaitan.

Katanya ia boleh dijadikan sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Menara KL dalam membantu meringankan beban golongan yang memerlukan di sekitar ibu negara.

"Tahun-tahun sebelum ini, kami hanya menerima tempahan awal bagi mengelak timbul masalah pembaziran... untuk 'walk in' kami hanya benarkan 10 ke 11 orang sahaja.

"Dengan cara itu, kami dapat menyediakan makanan pada kadar seperti mana yang telah dirancang dan ia dapat mengelak timbulnya rungutan 'makanan tidak cukup' dan 'berlebihan'," katanya kepada pemberita selepas majlis merasai juadah 'Bufet Ramadan Menara KL' di sini, Jumaat malam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga tidak berhasrat mengenakan sebarang cas atau denda sekiranya pelanggannya membazir semasa berbuka puasa, sebaliknya mengingatkan mereka agar tidak bersikap tamak ketika mengambil juadah.

Meor Shahril berkata, lebih 50 juadah masakan kampung disediakan oleh Chef Datuk Ismail di Mega View Banquet Hall, Menara KL bermula hari ini sehingga 3 Julai, dari 6.30 petang hingga 10 malam.

"Dengan pakej RM99 untuk dewasa dan RM59 untuk kanak-kanak, pengunjung juga berpeluang masuk ke Pelantar Pemandangan Menara KL dan merasai pengalaman baharu di KL Tower Sky Box dengan hanya RM20 apabila membeli bufet tersebut," katanya.

Katanya, antara menu istimewa ialah gulai lemak siput sedut, daging salai masak lemak, nasi ulam serta pelbagai jenis kuih-muih dan kerabu. 

Beliau menjangkakan kehadiran lebih 6,000 pengunjung untuk berbuka dengan juadah selera kampung sambil menikmati keindahan suasana malam di udara pada Ramadan tahun ini.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Menara KL , NGO

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan