Restoran Mat Sabu Jadi Pilihan Mat Sabu Di Sungai Besar

Diterbitkan: Jumaat, 10 Jun 2016 7:38 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BESAR: Restoran milik Mat Sabu di pekan ini tetap mencuri perhatian walaupun tuan punya premis itu tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 18 Jun ini.

Namun, jangan salah sangka kerana Mat Sabu yang dimaksudkan bukanlah Mat Sabu yang dulunya orang kuat PAS, tetapi kini telah menjadi presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu.

Pemilik restoran itu, Sobari Kaniman, 67, berkata, beliau mula dipanggil Mat Sabu apabila berceramah untuk parti Islam pada 1991 ketika memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Sabak Bernam.

“Bukan saya yang letak nama tu. Orang ramai mula panggil saya Mat Sabu bila saya mula berceramah untuk PAS. Mat Sabu ketika itu memang tengah top, kalau tak silap saya masa tu dia jadi Ahli Parlimen Kubang Kerian.

“Kemudian saya beli restoran ini yang terletak di Taman Perwira pada 2005 dan saya namakannya ‘Restoran Damai (Mat Sabu)’ sebab saya memang minat dia dan dia pun memang popular,” katanya kepada mStar Online.

Sobari bersama dengan Mat Sabu.

Anak jati Sungai Besar ini berkata, hampir semua masyarakat sekeliling mengenalinya sebagai Mat Sabu hinggakan hampir tiada seorang pun yang kenal atau memanggilnya dengan nama sebenarnya, Sobari.

“Saya bila berceramah memang lantang. Mungkin sebab itu orang gelar saya Mat Sabu, saya tak pasti, tapi saya rasa sebab itulah,” katanya yang mula berceramah di pentas politik ketika bersama Semangat 46.

Merupakan pesara Tenaga Nasional Berhad (dulu Lembaga Letrik Negara), Sobari berkata restorannya bukanlah asing bagi Mat Sabu ‘original’ yang akan singgah di restorannya apabila  berkunjung ke Sungai Besar.

Malah, Mat Sabu juga tidak pernah lupa bercerita tentang Restoran Mat Sabu yang bukan miliknya itu dalam ceramah-ceramah politiknya di daerah-daerah berdekatan Parlimen Sungai Besar.

Sobari berkata kali terakhir Mat Sabu singgah makan di restorannya adalah pada hari penamaan calon, 5 Jun lalu.

Walaupun kehadirannya bukan lagi sebagai pemimpin PAS, Sobari tetap gembira menerima kunjungan pemimpin tertinggi Amanah itu.


“Politik tetap politik, kawan tetap kawan. Dalam politik, hari ni kawan, esok lawan, itu lumrah.

“Masa dia datang kalau tak silap saya, dia makan nasi lemak dan paru. Kami bergambar bersama,” katanya.

Menurut Sobari, restorannya popular dengan menu lontong istimewa, nasi ambeng pada setiap Jumaat dan nasi lemak bersama aneka lauk-pauk.

Jelasnya, walaupun dikenali sebagai orang kuat PAS, masyarakat setempat bersikap terbuka apabila restorannya menerima kunjungan pelanggan tanpa mengira fahaman politik, kaum atau agama.

Apabila ditanya apakah perasaannya apabila pertama kali mendapat tahu Mat Sabu memilih untuk bersama Amanah, beliau mengakui tidak hairan, tanpa mengulas lanjut.

Sobari kemudian memberitahu bahawa beliau adalah seorang yang terbuka dan sikapnya itu dapat dilihat apabila salah seorang daripada enam anaknya turut bersama Amanah.

Ditanya sama ada restoran yang dicat dengan hijau warna PAS itu mungkin akan bertukar kepada warna oren (Amanah) suatu hari nanti, beliau berkata ia tidak akan berlaku.

“Saya tetap istiqamah, walau ditembak sekali pun saya tetap setia bersama PAS. Tetapi saya juga tidak akan menukar nama restoran ini kepada nama lain,” katanya yang yakin PAS akan menang pada PRK Sungai Besar minggu depan.

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 3:30 PM

Ebba Tak Minat Jadi Jurutera

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan