Pemandu Guna Lorong Kecemasan Bakal Dikena Tindakan Mahkamah

Diterbitkan: Jumaat, 10 Jun 2016 9:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA SELANGOR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi dan akan mengheret pengguna jalan raya yang menggunakan lorong kecemasan ke mahkamah berkuatkuasa serta-merta.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata mereka yang masih berdegil menggunakan lorong itu akan dihadapkan ke mahkamah mengikut Kaedah 9 dan 53 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak kurang setahun.

"Sebelum ini mereka hanya dikenakan saman sebanyak RM300 atas kesalahan menggunakan lorong kecemasan, tetapi kita lihat jumlah saman itu agak rendah dan langkah itu tidak memberi kesedaran kepada mereka.

Sebab itu kita memandang perkara ini serius sekali gus akan mengambil tindakan mahkamah yang membolehkan mereka ini disaman maksimum RM2,000 atau penjara setahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan pejabat cawangan JPJ Kuala Selangor di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung 91 pemilik kenderaan yang dikenal pasti menggunakan lorong kecemasan di KM228 Lebuhraya PLUS, di Melaka, bulan lepas sehingga menghalang laluan ambulans.

Ismail berkata susulan itu, tujuh pemilik kenderaan telah memberikan keterangan kepada JPJ dan akan didakwa di mahkamah atas kesalahan berkenaan.

"Sembilan puluh satu pemilik kenderaan dikenal pasti (menghalang laluan ambulans), daripada jumlah itu tujuh telah tampil manakala 84 lagi diberi tempoh sehingga 16 Jun ini untuk memberi keterangan...sekiranya gagal (memberi keterangan), tindakan mahkamah akan terus diambil ke atas mereka, katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pejabat cawangan JPJ di sini, beliau berkata ia merupakan inisiatif JPJ untuk memberikan kemudahan dan perkhidmatan berkaitan kepada masyarakat setempat.

"Buat masa ini, pejabat cawangan JPJ yang ke-67 ini menyediakan lima perkhidmatan utama JPJ seperti urusniaga berkaitan lesen memandu, memperbaharui cukai jalan, pembelian nombor pendaftaran kereta, tukar hak milik kenderaan dan bayaran saman.

"Kita berharap dengan pembukaan cawangan ini, penduduk Kuala Selangor yang mahu membuat urusan dengan JPJ tidak perlu lagi ke cawangan Sabak Bernam yang sememangnya agak jauh dari sini," katanya.

Tags / Kata Kunci: JPJ

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan