“Ada Pihak Takut Dengan Gerak Kerja Saya” - Budiman

Diterbitkan: Khamis, 9 Jun 2016 4:50 PM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BESAR: Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menganggap papan iklan provokasi yang dipasang DAP sebagai ‘taktik murahan’.

Budiman berkata, pihak lawan dilihat sudah ‘bankrap idea’ apabila berkempen cara itu dan kemudian membuat tuduhan tak berasas terhadap dirinya dan BN.

Beliau merujuk kepada dakwaan terbaharu DAP oleh Ahli Parlimen Sekinchan, Ng Suee Lim yang mendakwa BN telah merampas papan tanda miliknya yang masih kosong dengan meletakkan ‘banner’ kempen tertera gambar Budiman.

“Saya lihat ‘banner ‘tersebut bercanggah langsung dengan SOP (prosedur operasi standard) ‘banner-banner’ yang ada milik saya, sebab boleh dikatakan saya tidak memakai baju Melayu di kawasan majoriti pengundi Cina.

“Pakai kot dan blazer itu juga bukan SOP pasukan saya, sebab saya budak kampung, hari ini pun saya pakai baju-T biasa, takkanlah di bukan kawasan saya, saya pakai blazer dan kot,” katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Dakwaan ‘rampas banner’ oleh Suee Lim itu dibuat pada Khamis, selepas DAP mengaku memasang papan iklan provokasi di pekan Sekinchan, Rabu dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Dalam sidang media yang sama Budiman turut menceritakan bagaimana beliau ‘diterpa’ oleh Suee Lim ketika beliau sedang melakukan ‘walkabout’ di pekan Sekinchan, pagi Khamis.

Suee Lim yang kebetulan berada di situ dikatakan datang meluru kepadanya untuk meminta penjelasan mengenai isu ‘banner’ yang dibangkitkan itu.

“Tadi saya dalam perjalanan melakukan ‘walkabout’ di pekan Sekinchan, tiba-tiba Adun Sekinchan meluru kepada saya, dia kata bahawa saya telah pasang banner pada papan tanda milik mereka, saya sangat terkejut,” katanya.

Budiman berkata, ada pihak kurang selesa melihat cara dia berkempen iaitu dengan meletakkan sasaran untuk bertemu 3,000 pengundi sehari.

“Saya tak tuduh DAP, tapi saya fikir ada pihak yang sudah takut dengan gerak kerja saya bertemu 3,000 pengundi setiap hari, saya fikir ada orang sudah rasa tak selesa dan takut.

“Saya lihat ini kaedah untuk memburukkan saya, saya tak kata sesiapa, tapi saya lihat mereka ini bankrap idea apabila sengaja memburukkan keperibadian saya dengan tujuan menggugat sokongan rakyat kepada BN,” katanya.

Terdahulu, sebelum sidang media, Suue Lim mendakwa empat papan iklan berukuran 8m X 16m yang masih belum dipasang poster kempen Pakatan Harapan telah dirampas oleh BN.

Katanya, poster Pakatan Harapan untuk papan iklan itu belum siap dan terkejut apabila mendapati poster BN dipasang di situ, pagi Khamis. Suee Lim berkata banner itu akan diturunkan petang Khamis.

Tags / Kata Kunci: BN , Budiman Mohd Zohdi , PRK Sungai Besar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan