Kebajikan Rakyat Terbela Kerana Dasar Pentadbiran Kerajaan BN

Diterbitkan: Khamis, 9 Jun 2016 10:16 PM

Najib Tun Abdul Razak (empat, kanan) menunaikan solat Maghrib pada Majlis Berbuka Puasa Perdana bersama Perdana Menteri di Masjid Ma'muniah Sungai Nipah pada Khamis. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BESAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan masih mampu menjaga kebajikan dan kemaslahatan rakyat di negara ini walaupun dengan kejatuhan harga minyak dunia.Beliau berkata, keadaan ini berlaku kerana kerajaan tahu cara menguruskan negara melalui dasar pentadbirannya.

“Ini bezanya bila kita pilih kerajaan yang tahu uruskan negara melalui dasar pentadbirannya.

“Ini baiknya kita pilih kerajaan yang stabil kerana kalau kita berkecamuk sesama kita, apa akan jadi pada negara kita…akhirnya ekonomi kita akan merudum,” katanya ketika berucap di Majlis Iftar Perdana di Masjid Ma’muniah, Simpang Lima, di sini, Khamis.

Hadir sama isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar Tan Sri Noh Omar, Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan beberapa pimpinan Umno lain.

Justeru perdana menteri menasihatkan mereka yang hadir, khususnya kepada pengundi di Sungai Besar supaya tidak mengikut emosi semata-mata dalam memilih kerajaan.

“Kita mesti fikir dengan kepala dan minda yang tenang dan rasional bahawa apa yang kita mahu dalam negara kita.

“Kita mahukan kestabilan dalam negara, kita mahu kerajaan yang peka dan prihatin kepada kebajikan rakyat dan kerajaan BN mampu memenuhi hasrat dan aspirasi rakyat,” katanya.

Najib memberi contoh pihak pembangkang, di mana kecelaruan mereka dalam pentadbirannya dapat dilihat dengan jelas dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar yang menyaksikan mereka bertembung sesama sendiri.

Perdana menteri turut menyeru agar pengundi-pengundi di Sungai Besar memberi sokongan kepada calon BN Budiman Mohd Zohdi dengan melihat kepada rekod baiknya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat sesuatu yang menunggu kumpulan pekebun kecil.

“Saya nak nyatakan pekebun kecil akan dapat perhatian, Tunggu sehari dua lagi apa keputusan kerajaan.

“Ini semua bukan rezeki, tidak. Ini perancangan kita, ini pelan kita dan kita rancang ini berdasarkan kepada kemampuan kita tadbir negara,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan