PAS Patut Bersama Pakatan Harapan - Mat Taib

Diterbitkan: Rabu, 8 Jun 2016 8:19 PM

(Ubah saiz teks)


SUNGAI BESAR: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata, pertembungan tiga penjuru di Sungai Besar berlaku kerana PAS tidak mempunyai pendirian jelas, malah dilihat berbaik-baik dengan Barisan Nasional (BN).

Muhammad berkata, PAS sepatutnya bersama-sama Pakatan Harapan untuk mengambil alih pentadbiran negara di Putrajaya kerana pada masa ini hanya Pakatan Harapan yang dilihat menjadi entiti yang mampu melakukan perubahan.

“Apa yang penting rakyat di negara ini mahu melihat perubahan berlaku.

“Kalau PAS rasa tak nak (perubahan), jadi terpaksa yang lain-lain seperti Amanah, PKR dan DAP mencuba sedaya-upaya untuk ambil alih pentadbiran, tapi saya fikir PAS sepatutnya bersama-sama dengan Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib ditanya mengenai pandangannya sebelum ini bahawa Amanah tidak sepatutnya bertanding di Sungai Besar.

“Oleh kerana PAS dan lain-lain tak dapat bersatu, terpaksalah tiga penjuru dan PAS pula ada satu anjakan seolah berbaik-baik dengan BN,” katanya.

Mengenai kedudukan PAS, beliau berkata, PAS tidak menunjukkan arah dan pendiriannya yang jelas berhubung masa depan pentadbiran negara.

“PAS tak tunjukkan pendirian, di sini atau di sana, yang mana satu pendirian dia? Kalau nak tukar (pentadbiran), nak tukar  dengan siapa. Tentulah nak tukar BN, buat apa PAS masuk (bertanding) kalau bukan nak kalahkan BN. 

“Kalau nak kalahkan BN, mesti di sini. Kalau ada tiga penjuru, pengundi akan keliru mana satu nak pilih. Kena ada dua saja, BN atau Pakatan Harapan,” katanya.

Mat Taib tiba di Sungai Besar, petang Rabu untuk berkempen membantu Amanah di atas tiket Pakatan Harapan.

Beliau kini adalah ahli PKR selepas keluar PAS pada September tahun lalu.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan