Apam Diraja Juadah Istimewa Bazar Ramadan Kuala Kangsar

Diterbitkan: Selasa, 7 Jun 2016 7:20 AM

Apam diraja atau juga dikenali dengan nama apam pasang. -Gambar Internet

(Ubah saiz teks)

WALAUPUN pelbagai kuih-muih boleh didapati di bazar Ramadan, namun kuih apam diraja Kuala Kangsar atau turut dikenali sebagai apam pasang, juadah istimewa di Bazar Ramadan Kuala Kangsar.

Apam diraja berwarna putih gebu itu diperbuat daripada nasi yang dikisar sebelum dikukus dan dicantum dua.

Seorang peniaga apam diraja di bazar Ramadan Arena Square di sini yang hanya ingin dikenali sebagai makcik Ani berkata dia menjual kira-kira 50 biji apam diraja sehari pada bulan Ramadan dan pada hari-hari biasa jualan mencecah 100 biji.

"Kuih ini hanya ada di Kuala Kangsar dan ia satu daripada kesukaan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Kuih ini enak dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan kari," katanya kepada Bernama di Kuala Kangsar.

Kuih apam itu dijual pada harga RM3 sepasang (dua keping).

Sementara itu, Nik Hazizah Nik Hassan, 53, yang menjual sebanyak 60 jenis agar-agar berkata dia mula menghasilkan pencuci mulut itu selepas sahur dan menggunakan 25 kilogram gula dan 24 tin susu pekat manis.

Nik Hazizah dari Kota Baharu, Kelantan yang telah berniaga selama 17 tahun di sini berkata dia menjual tiga potong agar-agar atau puding pada harga RM2 dan harga itu kekal sejak tiga tahun lalu.

"Biar jual murah yang penting orang beli," katanya sambil menambah yang dia biasanya memperoleh keuntungan RM5,000 sepanjang Ramadan.

Sependapat dengan Nik Hazizah mengenai keperluan menjual makanan pada harga  murah adalah peniaga ayam percik yang hanya ingin dikenali sebagai Mat Nayan.

Beliau yang berniaga sajian itu sejak 30 tahun lalu menjualnya pada harga antara RM1 hingga RM3 mengikut bahagian ayam.

"Bila pelanggan berpuas hati dengan harga, maka ayam yang dijual akan habis, kita juga jual ayam segar setiap hari," katanya yang menyediakan 50 ekor ayam sehari.

Sementara itu, seorang pengunjung, Rohaida Ahmat, 34, dari Kuala Lumpur berkata makanan yang dijual di bazar berkenaan bukan sahaja beraneka, malah harga ditawarkan juga berpatutan.

"Memang rambang mata bila sampai ke bazar ini, tapi yang seronok harga makanan yang dijual murah," katanya yang merupakan seorang Penerbit Rancangan.

Tags / Kata Kunci: Apam Diraja , Apam Pasang , Kuala Kangsar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan