Lewat Dapat Rawatan Punca Pesakit Kencing Tikus Maut - Kesihatan

Diterbitkan: Isnin, 6 Jun 2016 10:49 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelewatan mendapatkan rawatan awal terhadap demam yang dianggap biasa, menjadi punca kepada penghidap penyakit leptospirosis atau kencing tikus, maut.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata simptom penyakit itu akan mula dirasai selepas beberapa hari mengunjungi pusat perkelahan yang tercemar dengan bakteria leptospira itu.

Beliau berkata antara tanda-tanda jangkitan antaranya demam yang tinggi, sakit kepala, menggigil, sakit otot, muntah, jaundis (penyakit kuning), radang mata, sakit perut, cirit-birit, batuk dan ruam di kulit.

"Kematian boleh berlaku terhadap kes yang teruk terutama mereka yang mempunyai penyakit lain seperti 'diabetes comorbidities' dan tidak menerima rawatan sewajarnya. Komplikasi yang mungkin berlaku adalah jangkitan kuman di otak (meningitis), pendarahan paru-paru yang teruk, kegagalan fungsi hati dan ginjal," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata individu yang mendapatkan rawatan perlu memaklumkan kepada doktor yang merawat mengenai kunjungan mereka ke kawasan rekreasi sebelum mengalami gejala penyakit berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata pesakit yang disyaki dijangkiti penyakit itu akan menjalani ujian pengesahan makmal ke atas sampel klinikal seperti sampel darah dan ujian lain yang boleh mengesan serta mengesahkan kehadiran antigen mahupun antibodi terhadap leptospirosis.

"Oleh itu, pesakit yang menghidap penyakit itu akan diberi rawatan lanjut dengan memberi penisilin, doksisiklin atau lain-lain antibiotik yang berkaitan," katanya.

Leptospirosis adalah suatu penyakit berjangkit daripada haiwan yang dijangkiti oleh bakteria leptospira kepada manusia (penyakit zoonosis). Manusia boleh dijangkiti apabila terdedah kepada makanan, air atau tanah yang telah dicemari air kencing haiwan terjangkit (haiwan pembawa).

Bakteria ini boleh dijangkiti melalui pengambilan makanan/minuman tercemar atau memasuki tubuh manusia melalui luka/kudis di kulit dan lapisan mukosa seperti selaput mata dan lapisan mukosa mulut yang bersentuhan dengan air atau persekitaran tercemar.

Beliau berkata sejak awal tahun ini hingga Mei lalu sebanyak 2,234 kes direkodkan, dan pada tahun lepas sebanyak 8,291 kes dilaporkan, 2014 (7,806), 2013 (4,457) dan 2012 (3,665).

"Tahun lepas, daripada jumlah kes yang dicatatkan, seramai 5,455 atau 66 peratus yang dijangkiti adalah lelaki dan 2,836 kes atau 34 peratus adalah wanita," katanya.

Menurut Dr Noor Hisyam statistik menunjukkan jumlah kematian paling ramai direkodkan pada tahun 2014 iaitu 92 orang diikuti tahun 2015 (78), 2013 (71), 2012 (48) dan sejak awal tahun sehingga Mei lalu, empat kematian direkodkan disebabkan jangkitan kencing tikus.

Katanya, kumpulan umur yang paling tinggi mendapat jangkitan penyakit itu adalah antara lingkungan umur 25 dan 55 tahun dan ia berkait rapat dengan jenis pekerjaan yang dijalankan.

"Jenis pekerjaan yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit ini ialah pekerja di sektor pertanian, pekerja pengurusan sisa, pengendali haiwan ternakan dan peliharaan, pasukan penyelamat, mereka yang terlibat aktiviti rekreasi dan individu yang mempunyai penyakit kronik serta luka kulit terbuka," katanya.

Justeru, Dr Noor Hisyam berkata kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan menjalankan kempen kesedaran dalam kalangan orang ramai supaya mengutamakan kebersihan persekitaran.

"Orang ramai yang berkunjung ke kawasan rekreasi khususnya, dinasihatkan agar peka terhadap jangkitan leptospirosis yang boleh berlaku terutama sekali jika terlibat dalam aktiviti air.

Tags / Kata Kunci: Leptospirosis , Kencing Tikus

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan