Amanah Boleh Terus Simpan Harapan Ganti PAS Di Selangor

Diterbitkan: Isnin, 6 Jun 2016 1:58 PM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BESAR: Parti Amanah Negara (Amanah) boleh terus menyimpan harapan mereka untuk menggantikan PAS dalam kerajaan Selangor, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Iskandar berkata walau apapun keputusan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini, PAS akan tetap bersama kerajaan dan memegang kerusi exco dalam kerajaan negeri itu.

"Amanah perlu ingat, PAS, DAP dan PKR yang membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, sebelum wujudnya Amanah," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Tiga calon yang akan bertanding bagi PRK Parlimen Sungai Besar iaitu calon BN, Budiman Mohd Zohdi (tengah), calon PAS, Dr Abdul Rani Osman dan calon Amanah, Azhar Abdul Shukor (kanan).
Beliau menjawab desas-desus exco PAS perlu meletak jawatan dan digantikan dengan Amanah sekiranya undi calon Pakatan Harapan melebihi undi PAS dalam PRK nanti.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan calon PAS bagi PRK Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman.

PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRK ini, Dr Abdul Rani berdepan pertandingan tiga penjuru dengan menentang calon BN yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi dan calon Amanah yang juga Pengerusi Amanah Sungai Besar Azhar Abdul Shukur.

Tiga anggota exco PAS Selangor ialah Iskandar yang merupakan exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor (exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi); serta Zaidy Abdul Talib (exco Infrastruktur Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Iskandar bagaimanapun enggan mengulas mengenai kedudukan PAS bagi menghadapi PRU-14 kerana masih terlalu awal untuk dibincangkan.

Tags / Kata Kunci: Amanah , PAS , Iskandar Samad

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan