Pertembungan Tiga Penjuru Di PRK Sungai Besar

Diterbitkan: Ahad, 5 Jun 2016 10:39 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BESAR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah).

BN diwakili Budiman Mohd Zohdi, manakala PAS dan Amanah masing-masing meletakkan Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Ab Shukur sebagai calon mereka.

Pengumuman tiga calon tersebut dibuat pada pukul 10.30 pagi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Khairuddin Mad Som selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Bernam di sini selesai.

Walaupun setiap calon diiringi kumpulan calon yang ramai, proses yang bermula pada pukul 9 pagi ini berlangsung dalam keadaan tenang dan lancar dengan pasukan keselamatan mengawal ketat keadaan sekeliling.

Budiman diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta beberapa pimpinan BN lain.

Dr Abdul Rani diiringi oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustapa Ali.

Bersama Azhar pula adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Budiman, 44, merupakan calon tempatan dan juga menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang yang terletak di bawah Parlimen Sungai Besar.

Beliau juga memegang jawatan setiausaha BN Selangor dan kini sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr Abdul Rani adalah seorang doktor perubatan dan mempunyai klinik sendiri. Beliau adalah Adun Meru.

Amanah yang pertama kali meletakkan calon dalam pilihan raya memilih Azhar, calon kelahiran Sungai Besar yang juga ahli perniagaan.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong selepas penyandangnya Datuk Noriah Kasnon terbabit dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Noriah menewaskan calon PAS Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi.

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 39.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus kaum lain.

Tags / Kata Kunci: PRK Sungai Besar , PAS , BN , Amanah

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan