RUU Persendirian Dibentang Atas Arahan PM, TPM - Azalina

Diterbitkan: Sabtu, 4 Jun 2016 8:12 PM

azalina
(Ubah saiz teks)

SUNGAI BESAR: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dibentangkan Presiden PAS di Dewan Rakyat minggu lalu dibuat atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau menerima arahan itu selepas melaporkan maklumat yang disampaikan oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak membantah untuk usul Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dibahaskan.

Katanya, maklumat bertulis 'tiada bantahan' itu telah disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Dalam tugas saya sebagai menteri menjaga urusan parlimen, saya bertanggungjawab kepada pemimpin majoriti, iaitu perdana menteri dan ketua whip, iaitu timbalan perdana menteri.

"Justeru arahan untuk membawa ke depan (usul RUU Persendirian) dari nombor 15 ke nombor satu sudah pasti daripada pemimpin majoriti dan ketua whip kerana itulah prosedur yang diperlukan di parlimen," katanya selepas majlis penutup Kayuhan Cinta Malaysia Ambang Ramadan di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, di sini, Sabtu.

Azalina berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau memperoleh kelulusan Kabinet atas tindakannya mempercepatkan pembentangan RUU Persendirian itu pada hari terakhir sidang parlimen 26 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang ini berkata, terdapat perbezaan di antara kandungan usul dan tugasnya sebagai menteri yang menyelia peraturan dan menguruskan prosedur.

Tambahnya, Jamil Khir adalah individu yang bertanggungjawab terhadap kandungan usul dan memberi kebenaran untuk usul itu dibahaskan.

"Tugas saya tiada kaitan dengan kandungan usul itu. Saya menyelia peraturan, jadi saya hanya menguruskan prosedur kerana usul itu berada di nombor 15 dan perlu dibawa ke nombor satu di antara usul lain kerajaan.

"Mengikut Peraturan Mesyuarat 14 seorang anggota Kabinet atau menteri mesti mendapatkan kebenaran Speaker. Saya hanya bertanggungjawab dalam isu teknikal, bukan kandungan usul itu," katanya.

Tambahnya lagi, adalah kurang matang jika isu ini diberi fokus dalam PRK kali ini kerana ia baharu di peringkat pembentangan usul.

"Kalau nak lihat pada isu nasional seperti di Parlimen baru-baru ini, ia agak kurang matang kerana pembentangan yang dibawa Ahli Parlimen Marang baru di peringkat usul, belum pun dibahas atau diundi.

"Oleh itu, carilah kesinambungan pengganti wakil rakyat BN dengan isu-isu tempatan khususnya bantuan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan