Analisis: Muktamar PAS Tak Hangat Tapi Padat

Diterbitkan: Sabtu, 4 Jun 2016 10:00 AM

(Ubah saiz teks)

TIDAK hangat, itulah gambaran ringkas pentas Muktamar Tahunan PAS Ke-62, malah isu yang dibahaskan dan usul yang dilontarkan bagaikan sudah dijangka.

Paling laris bak goreng pisang panas sudah tentu Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dibentangkan Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu.

Isu 'wajib ada' ini seperti meraikan satu kejayaan besar yang selama ini dinantikan seluruh anggota PAS berikutan usaha parti Islam itu mahu meminda Akta 355 bagi memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Tahaluf siyasi antara PAS dengan PKR turut disentuh berkali-kali berikutan PKR mengadakan hubungan bersama DAP termasuk Parti Amanah Negara (Amanah), selain ketegangan yang timbul susulan perebutan kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Malah katanya PAS tidak akan merajuk sekiranya PKR memutuskan untuk membantu calon Amanah yang bekas ahlinya di PRK Sungai Besar.

Situasi itu dihangatkan lagi apabila PAS mendakwa mereka adalah parti yang tahan lasak dan tidak manja. Itu kata PAS, dalam hati siapa yang tahu.

Bagaimanapun, senario Dewan Muslimat dalam muktamarnya pula agak berbeza apabila usul supaya PAS Pusat mengkaji semula tahaluf siyasi dengan PKR diluluskan usul tanpa bahas. 

Namun kata Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan, usul itu sekadar pandangan Dewan Muslimat dan bukannya keputusan PAS Pusat.

"Ia bukan ke arah memutuskan. Bagi kita, ia ke arah penambahbaikan," kata Takiyuddin memberi isyarat bahawa hubungan antara PAS dan PKR masih diteruskan.

Sama ada Dewan Ulama, Dewan Pemuda mahupun Dewan Muslimat, masing-masing nampaknya tidak begitu 'garang' menggunakan pentas muktamar ini bagi melancarkan serangan terhadap kerajaan Barisan Nasional atau blok pembangkang Pakatan Harapan.

Jika ada pun, lontaran suara mereka lebih menjurus kepada Amanah, kumpulan serpihan PAS yang sanggup menggadaikan prinsip dan perjuangan Islam selama ini dengan menubuhkan parti baharu.

Bagaimanapun dengan nada lembut, PAS berharap agar bekas anggota PAS kembali kepada parti Islam itu.

"Selepas setahun kita berbalah, ada masa lagi untuk mereka kembali kepada PAS. Kerana sejarah PAS sendiri penuh dengan orang kembali selepas pergi. Kita harap InsyaAllah‎ sahabat-sahabat kita kembali menikmati apa yang sedang kita nikmati," kata Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan nada sebak.

Apa yang pasti Muktamar Tahunan PAS kali ini masih sejuk namun begitulah yang diinginkan selari dengan budaya politik matang dan sejahtera yang mula diterapkan parti itu.

Tidak banyak isu semasa yang dibangkitkan malah barisan kepimpinan turut 'terselamat' daripada dikritik perwakilan seperti kebiasaannya.

Maka dalam kedinginan itu, kebanyakan perwakilan tidak menyentuh isu dalaman parti, melancarkan serangan luar atau menyuarakan isu yang tidak relevan.

Cukup padat, semuanya ada fokus dalam lontaran pandangan dan pendapat meskipun kadang-kala isi kandungan perbahasan diulang suara dan boleh dijangka.

Pada masa sama, ada saja pihak yang cuba mencemburui dengan mencetuskan sensasi terhadap Muktamar Tahunan PAS yang belum pun  memanaskan enjin untuk memulakan perjalanan.

Barangkali tiada modal untuk dijadikan kontroversi, pemakaian beberapa pemimpin PAS sewaktu perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kelantan Trade Centre (KTC), Selasa lalu dikritik.

Meskipun tampil segak dengan busana bagaikan pahlawan Melayu, siap berkeris dan bertanjak, namun ada suara-suara yang mengatakan pemimpin-pemimpin PAS ini sudah 'buang tabiat' apabila pemakaian mereka tidak berkopiah atau berserban mahupun berjubah putih seperti kelazimannya.

Kritikan hebat yang dilontarkan kepada kepimpinan parti Islam ini seiring dengan usaha PAS untuk bekerjasama dengan Umno hingga ia mempengaruhi gaya penampilan mereka, termasuk keris panjang yang digunakan Abdul Hadi untuk memotong pulut hijau secara simbolik. 

Diasak persoalan mengenai imej berkenaan menggambarkan perjuangan bangsa, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan bahawa parti itu hanya memperjuangkan agama.

"Kita menerima semua bangsa sebagai ketentuan Allah. Melayu, Cina dan India bukan kita yang tentukan tetapi Allah yang tentukan" kata Tuan Ibrahim yang menyifatkan isu busana tidak seharusnya diperbesarkan.

Sehubungan itu, budaya politik matang dan sejahtera yang sering dibangkitkan di pentas Muktamar Tahunan PAS bakal memperlihatkan perubahan landskap politik secara menyeluruh.

Signifikannya apabila PAS mahu keluar daripada politik cara lama yang menjadi budaya kerajaan mahu pun pembangkang.

Blok politik sebelum ini kebanyakannya diwarnai oleh dua warna hitam-putih sahaja iaitu sama ada kerajaan atau pembangkang dengan budaya politik masing-masing.

Kerajaan yang ada sentiasa mempertahankan tindakan mereka, menolak peranan pembangkang dan kadang-kala seolah-olah memaksa rakyat untuk menerima perubahan atau pelaksanaan  polisi tertentu.

Pembangkang pula hanya sentiasa membangkang apa sahaja agenda kerajaan walaupun kadang-kala ia baik.

"Oleh itu, kita ingin keluar dari politik cara lama dan keterlaluan ini yang menyusahkan rakyat," kata Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya.

Mungkin Muktamar Tahunan PAS Ke-62 ini tidak hangat tetapi usul dan perbahasan cukup padat serta fokus.

Suasana sejuk ini menyaksikan perjalanan muktamar selama empat hari termasuk di Putik, Kota Baru lebih tenang tanpa sebarang provokasi dan ketegangan, sekali gus mencerminkan parti Islam itu komited ke arah membudayakan politik matang dan sejahtera.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan