Jangan Mudah Terjebak Ideologi Songsang - Agong

Diterbitkan: Sabtu, 4 Jun 2016 2:31 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah menyeru rakyat Malaysia supaya tidak mudah terjebak dan terpengaruh dengan ideologi songsang yang boleh mengakibatkan kehancuran kepada negara serta tamadun dunia.

Seri Paduka bertitah pergolakan yang berlaku di seluruh pelosok dunia dan serangan pengganas di beberapa negara seperti Belgium, Turki, Perancis dan Indonesia sejak kebelakangan ini menzahirkan kebimbangan di hati baginda.

Baginda bertitah serangan-serangan itu bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda, malah mengakibatkan banyak nyawa terkorban, termasuk orang awam dan rakyat yang tidak berdosa.

"Ini disebabkan angkara kumpulan-kumpulan pengganas dan munculnya kefahaman serta ideologi yang terlalu ekstrem dan taksub kepada kelompok sempit dan menyimpang jauh daripada ajaran Islam sebenar," titah baginda pada majlis menghadap dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, tetamu kehormat dan duta-duta.

Pada majlis hari ini, sebanyak 39 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada keseluruhan 1,546 penerima, yang menerima pingat kebesaran masing-masing.

Tuanku Abdul Halim juga bertitah sambutan keputeraan rasminya hari ini adalah terakhir bagi pemerintahan kedua Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, yang akan berakhir hujung tahun ini.

Kali pertama Tuanku Abdul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong adalah dari 1970 hingga 1975.

Baginda turut bertitah: "Apa yang pasti masa berlalu begitu pantas. Beta bersyukur dalam tempoh pemerintahan, Beta diberi kesempatan dan kurnia Allah SWT melihat negara ini berkembang daripada satu fasa ke satu fasa".

Seri Paduka bertitah era pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri ternyata berjaya menongkah arus cabaran ekonomi global dan meletakkan namanya di peta antarabangsa dalam pelbagai pencapaian.

"Beta sukacita dan mengambil maklum mengenai laporan kejayaan Program Transformasi Negara yang bernaung di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional apabila mendapati Petunjuk Prestasi Utama keseluruhan bagi Program Transformasi Kerajaan telah mencapai 99 peratus pencapaian," titah Tuanku Abdul Halim.

Titah Seri Paduka, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi keseluruhan Program Transformasi Ekonomi pula mencapai 111 peratus, manakala menerusi Inisiatif Pembaharuan Strategik pula, 108 peratus KPI telah dicapai.

"Hal sedemikian telah meyakinkan Beta bahawa kerajaan di bawah pimpinan Najib telah mencapai satu tahap prestasi membanggakan, sekali gus sedang memacu Malaysia pada landasan yang betul ke arah negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh direncanakan," titah Baginda.

Baginda juga merakamkan takziah kepada anggota keluarga mangsa-mangsa tragedi helikopter yang terhempas di Batang Lupar, Sarawak sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 pada 5 Mei lepas, termasuk bekas Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Noriah Kasnon.

"Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat dan berharap anggota keluarga mangsa dan sanak-saudara akan terus cekal serta bersabar dalam menghadapi insiden malang ini," titah Baginda.

Allahyarham Noriah menerima darjah Panglima Setia Mahkota dalam istiadat hari ini yang membawa gelaran Tan Sri, dengan diwakili anaknya Anis Athirah Mohd Ishak.

Menyentuh mengenai rakyat Malaysia, Tuanku Abdul Halim bertitah: "rakyat Malaysia telah membuktikan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang kita miliki bukanlah satu halangan dan masalah, sebaliknya adalah satu keunikan yang membina kekuatan kita bersama.

"Ini amat bertepatan dengan hasrat dan cita-cita Beta untuk melihat bukan sahaja perpaduan terus terpelihara, tetapi bertambah kukuh dan utuh merentasi semua perkara," titah Baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah rakyat Malaysia berbilang kaum di negara ini perlu memanfaatkan segala kesempatan yang ada untuk lebih bergaul, mengenali dan memahami antara satu sama lain.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Khamis, 12 Oktober 2017 9:00 PM

Hafiz Keliru, Saya Tak 'Madukan' Suami - Joy Revfa

Khamis, 12 Oktober 2017 5:22 PM

Punyalah Menangis, Pun Tak Lepas...

Khamis, 12 Oktober 2017 2:00 PM

Xpose Band 'Geng' Jurutera

Kolumnis

iklan

Iklan