PRK Kuala Kangsar: Calon BN Kempen Guna Skrin Bergerak

Diterbitkan: Sabtu, 4 Jun 2016 3:35 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA KANGSAR: Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid akan berkempen menerusi siaran langsung dan rakaman yang akan ditayangkan Pasukan LED Bergerak.

Ketua Penerangan BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiga lori yang dilengkapi skrin LED dan pembesar suara akan ke kawasan berkempen yang ditetapkan untuk memberi peluang kepada Mastura menyampaikan mesej kempennya.

"Ketiga-tiga lori berkenaan telah tiba di sini pada pukul 9 pagi ini. Malam ini sebuah daripadanya akan mula berkempen penerangan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Chandan.

"Calon BN akan muncul di skrin-skrin LED bergerak ini untuk berkempen dan menyampaikan mesejnya kepada pengundi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Tawaran Skim Pelajar Cemerlang Mara di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.

Beliau menambah, kandungan mengenai rakaman yang akan ditayangkan dalam kempen tersebut telah dirancang dan disediakan untuk digunakan sepanjang tempoh berkempen.

"Datin Mastura juga akan muncul secara lintas langsung di lokasi yang ditetapkan untuk menyampaikan mesejnya kepada pengundi.

"Apa yang kita buat ini juga telah dibincangkan dan mendapat nasihat daripada ulama bagi menghormati tempoh edah Mastura.

"Jadi tidak timbul isu calon BN tidak boleh muncul menerusi skrin bergerak untuk berkempen," jelasnya.

Mastura dinamakan sebagai calon BN selepas suaminya Allahyarham  Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Beliau juga tidak akan hadir pada hari penamaan calon, Ahad kerana masih dalam edah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan