Kerusi Husam Dipindah Sebaris Dengan Pembangkang - Speaker

Diterbitkan: Rabu, 1 Jun 2016 2:49 PM

Datuk Husam Musa

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Tempat duduk anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor Datuk Husam Musa dalam persidangan DUN Kelantan dipindah sebaris dengan pembangkang selepas beliau dipecat daripada PAS, kata Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub.

Abdullah berkata pemindahan tempat duduk itu adalah amalan biasa selepas mana-mana anggota parti yang bergelar wakil rakyat di sesuatu kawasan keluar daripada parti kerajaan yang memerintah.

"Ini amalan biasa di Parlimen dan dewan-dewan undangan negeri. Bila seseorang anggota (ADUN) keluar daripada parti kerajaan yang memerintah, maka akan dipindahkan kerusinya ke tempat pembangkang atau bebas.

"Jadi oleh kerana Yang Berhormat Salor ini bekas anggota PAS (daripada) parti kerajaan, apabila dia dipecat daripada parti PAS yang memerintah kerajaan negeri Kelantan, maka tempat duduknya dipindahkan," katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Sidang DUN Kelantan berlangsung selama dua hari bermula Rabu.

Pada 6 Mei lepas, Jawatankuasa Tatatertib PAS mengesahkan memecat Husam setelah meneliti aduan salah laku terhadap bekas naib presiden parti itu dan mendapati beliau telah melakukan tindakan serta perbuatan yang menyalahi Fasal 82(1)(b), (c),(d),(e) dan (f), Perlembagaan PAS.

Husam sebelum ini dilihat lantang menyerang parti dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terutamanya dalam isu dakwaan kerjasama antara PAS dan Umno.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata surat pemakluman mengenai pemindahan tempat duduk itu yang berkuat kuasa hari ini dihantar kepada Husam kira-kira dua minggu lepas.

Ditanya mengenai ketidakhadiran Husam pada persidangan DUN hari ini, Abdullah berkata beliau tidak menerima sebarang alasan daripada Adun Salor itu.

"Dewan ini kalau dia (Adun) hadir sebentar pun dah dikira hadir... mungkin esok ada, jadi kita tak boleh kata apa lagi," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan