Ramai Graduan Muflis Kerana Mahu Gaya Hidup Mewah

Diterbitkan: Rabu, 1 Jun 2016 10:27 AM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

KUALA NERUS: Terlalu mementingkan gaya hidup mewah dan takut dilabel sebagai miskin menjadi faktor utama kebanyakan graduan berumur bawah 30 tahun terperangkap dengan hutang dan seterusnya mengundang kepada muflis.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir berkata kebanyakan graduan membuat pinjaman bank dan  menggunakan kad kredit semata-mata untuk hidup mewah meskipun sebenarnya ia di luar kemampuan mereka.

"Graduan ini biasanya berumur di bawah 30 tahun yang mana mereka baru menamatkan pengajian dan baru saja memasuki alam pekerjaan dan biasanya mereka masih belum mempunyai simpanan yang banyak tetapi mereka sangat cenderung untuk terikut-ikut dengan gaya hidup mewah.

"Kebanyakkan mereka membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit untuk membeli gajet terbaharu dan pakaian mengikut trend selain untuk tujuan membeli kereta dan membayar pinjaman perumahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara AKPK dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, Selasa.

Turut hadir Dekan Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan UniSZA, Prof Dr Izah Mohd Tahir dan Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan UniSZA, rof Dr Ahmad Puad Mat Som.

Azaddin berkata sekiranya graduan tidak dapat menguruskan kewangan mereka dengan cara betul mereka akan terus dibelenggu hutang yang boleh mengundang muflis.

"Sehingga 30 April tahun ini, daripada 429,588 pelanggan yang mendapatkan khidmat nasihat daripada AKPK, 15 peratus daripadanya adalah mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun dan 52 peratus daripadanya tidak tahu bagaimana untuk menguruskan wang dengan cara yang betul.

"Bagaimanapun hanya 35.1 peratus atau 150,706 orang menjalani Program Pengurusan Kredit dan daripada jumlah 150,706 ini kira-kira 80 peratus individu mampu membayar balik hutang selepas mendapatkan khidmat nasihat daripada AKPK," katanya.

Beliau berkata kegagalan 20 peratus lagi individu untuk membayar balik hutang adalah disebabkan perkara luar jangka seperti kehilangan pekerjaan.

Mengulas mengenai MoU itu, Azaddin berkata AKPK akan bekerjasama dengan UniSZA dari segi khidmat nasihat, kerjasama dalam latihan industri yang membolehkan pelajar dan kakitangan UniSZA ditempatkan di AKPK dan pegawai AKPK juga berpeluang melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

"Kita berterima kasih kepada UniSZA yang sudi menjalinkan kerjasama dengan pihak kami dan kerjasama ini diharapkan dapat memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak," katanya.
Tags / Kata Kunci: AKPK , graduan muflis , Azaddin Ngah Tasir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan