Malaysia Sedia Mudahkan Laluan FDI Jepun Bagi Industri Halal - TPM

Diterbitkan: Selasa, 31 Mei 2016 3:23 PM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

(Ubah saiz teks)

TOKYO: Malaysia bersedia menarik dan mempermudahkan sebarang kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun, terutamanya yang melibatkan industri halal, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau, yang dalam lawatan kerja ke Jepun, berkata bagi tujuan tersebut, kerajaan akan menyelaraskan proses kemasukan FDI dengan pihak kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Ia mempunyai kaitan, (kerana Jepun) bukan sahaja dapat pasaran produk halal yang pada tahun 2050 nanti akan terdapat kira-kira 2.8 bilion penduduk dunia beragama Islam.

"Dalam masa yang terdekat, Jepun mahu menjadi tuan rumah kepada Sukan Olimpik di mana sebahagian dari olahragawan dan olahragawati yang datang, terdiri daripada peserta-peserta dari negara Islam.

"Maka piawaian yang tertentu (berkaitan halal) harus dipelajari oleh mereka daripada sekarang," kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini, selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan rakan sejawatnya di Jepun, Taro Aso, merangkap Menteri Kewangan negara matahari terbit itu.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia, berkata Aso menyatakan hasrat mempelajari bagaimana industri Halal dapat digunakan terutamanya dalam industri pemakanan.

Beliau berkata Aso turut kagum dengan piawaian halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan usaha pengantarabangsaannya oleh Halal Development Corporation (HDC), dan menyifatkannya sebagai 'sesuatu yang amat jauh di luar jangkaan mereka'.

Susulan itu, beliau berkata Malaysia bersedia menghantar beberapa  pegawai untuk berpangkalan di Jepun bagi membantu negara tersebut mempelajari aspek saintifik halal dan juga prosedur operasi standard bagi penentuan produk dan perkhidmatan halal.

Di samping itu, Ahmad Zahid berkata Jepun turut menunjukkan minat dalam aspek keselamatan bagi penganjuran Sukan Olimpik berikutan pengalaman Malaysia yang luas dalam menangani pihak militan dan pengganas sejak zaman darurat lagi.

"Kami bersedia bukan sahaja bertukar maklumat, tetapi tentunya kami beri peluang bagi (Jepun untuk) mendapatkan pendedahan dan latihan pihak berkuasa," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata pertemuannya dengan Aso hari ini turut melibatkan perutusan rasmi bagi menjemput beliau melawat Malaysia bagi meraikan perayaan sambut ulangtahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun yang akan disambut pada tahun hadapan.

Katanya hubungan baik yang terjalin antara dua negara turut diterjemahkan dalam tahap keyakinan yang tinggi oleh pelabur Jepun terhadap iklim pelaburan dan ekonomi Malaysia.

Ini turut disokong oleh pelaburan dari syarikat Jepun di Bandar Enstek baru-baru ini yang melibatkan jutaan dolar Amerika dalam industri farmasutikal dan wangian.

"Beliau (Aso) menyatakan dari segi pulangan kadar simpanan di Jepun, ia berada pada tahap sifar di mana terdapat lebihan simpanan di dalam sistem perbankan mereka.

"Inilah masa yang sesuai untuk mereka mengembangkan pelaburan di luar negara dan Malaysia tidak terlepas daripada untuk diterokai oleh pelabur-pelabur Jepun bagi memperoleh pulangan pelaburan," tambah beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan