Rafizi Buat Laporan SPRM Isu Rasuah Selangor

Diterbitkan: Isnin, 30 Mei 2016 2:10 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat laporan mengenai dakwaan rasuah dalam kerajaan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya telah memberikan maklumat yang saya ada setakat ini kepada SPRM mengenai aduan terhadap pengendalian kerajaan negeri Selangor. Harapan saya adalah supaya kita memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa dihalang oleh kuasa politik atau persepsi.

"Saya rasa perkara paling teruk yang berlaku ialah SPRM sentiasa dilihat terperangkap dalam permainan politik. Ini (membuat laporan) adalah sesuatu yang biasa yang perlu dilakukan oleh orang ramai," katanya kepada media di sini, Isnin.

Terdapat kira-kira 50 orang yang hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Rafizi termasuk Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen; Ahli Parlimen Kapar, G. Manivannan dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan  Datuk Saifuddin Abdullah.

Rafizi meluangkan masa hampir sejam di pejabat SPRM.

Pada Selasa lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Rafizi perlu membawa semua bukti rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor termasuk habuan wanita dan wang yang ada padanya terus ke pihak SPRM.

Wan Azizah yang ditemui semasa sidang media selepas mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR turut memberitahu, biro politik juga akan meneliti dakwaan tersebut dan sekiranya ia melibatkan anggota parti, anggota tersebut akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin parti.

Tags / Kata Kunci: Rafizi Ramli , SPRM , Rasuah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan