Malaysia Giatkan Inisiatif Tingkatkan Pelancongan Mewah

Diterbitkan: Isnin, 30 Mei 2016 2:42 PM

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan bertitah merasmikan St Regis Langkawi. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Rajawali Group, Tan Sri Peter Sondakh

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menggiatkan lagi perancangan, penyediaan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk menarik lebih ramai pelancong massa serta pelancong mewah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya ini selaras dengan trend terkini dalam sektor pelancongan yang menjurus kepada pelancongan elit.

Beliau memetik laporan The World Travel Monitor yang menyatakan pelancongan elit dan mewah mencatat pertumbuhan paling kukuh di seluruh dunia dengan kira-kira 46 juta pelancongan mewah antarabangsa pada 2014 sahaja.

"Saya yakin dengan mengambil langkah ini, kita dapat mendatangkan manfaat kepada pengusaha dan penduduk setempat dengan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan selain menjana ekonomi tempatan yang menjanjikan pendapatan tinggi.

"Antaranya, pengusaha kereta sewa, kraftangan, makanan dan minuman, tekstil serta pakaian akan menikmati limpahan hasil daripada perbelanjaan besar pelancong mewah dan massa," kata beliau dalam catatan terbaharunya di blog NajibRazak.com.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pelancongan adalah sektor ekonomi yang penting dan memberikan sumbangan keenam terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar negara.

Pada 2015, Malaysia menerima 25.7 juta pelancong yang menjana pendapatan RM69.1 bilion untuk negara.

Secara purata bagi tempoh tiga tahun lepas, Malaysia berjaya meningkatkan perbelanjaan setiap pelancong kepada kira-kira RM2,600 yang turut memanfaatkan penduduk setempat, kata beliau.

Mengenai Hotel St Regis Langkawi yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di pulau peranginan itu semalam, Najib berkata ia sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan taraf Langkawi menjadi destinasi pilihan pelancong dari serata dunia.

"Ia itu juga menandakan keyakinan pelabur terhadap ekonomi dan kerajaan Malaysia," katanya.

Projek Hotel St Regis Langkawi merupakan usaha sama di antara Kementerian Kewangan menerusi Ministry of Finance Incorporated dan Rajawali Group, sebuah syarikat dari Indonesia.

Najib turut berharap akan ada lebih banyak pelaburan Indonesia di Malaysia yang akan membawa kepada integrasi dan pengukuhan ekonomi kedua-kedua negara.

Perdana menteri turut menarik perhatian bahawa Hotel St Regis Langkawi menjadi contoh kisah kejayaan hasil perancangan bersama oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan pelancongan.

"Saya gembira apabila dimaklumkan, misalnya, bahawa 80 peratus daripada jumlah pekerja di sini adalah rakyat negeri Kedah sendiri," kata Najib.

Beliau menegaskan bahawa Langkawi jelas berpotensi untuk muncul sebagai destinasi pelancongan antarabangsa terkemuka dengan keunikan dan kecantikannya yang terserlah dan menjadi tarikan kepada pelancong dari seluruh dunia.

Kerajaan Persekutuan, katanya, akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Kedah untuk mentransformasi dan membangunkan pulau itu.

Bagi membuka lembaran baharu, Najib berkata pelancongan di Langkawi memerlukan pembangunan yang merangkumi beberapa aspek termasuk penyediaan hab pelayaran bertaraf antarabangsa dan marina bertaraf dunia.

Ia juga memerlukan lokasi untuk penganjuran konvensyen antarabangsa, sukan dan muzik, pusat beli-belah bebas cukai selain lokasi kebudayaan indah berserta taman.

Najib turut berkata inisiatif mempromosi Langkawi perlu terus dibuat termasuk menambah jaringan penerbangan dengan melibatkan lebih banyak destinasi, seperti penerbangan terus Langkawi-China yang telah dimulakan.

"Insya-Allah, hasrat kita untuk menjadikan Langkawi sebagai 'Riviera of Asia' yang bukan sahaja mampu menandingi malah melangkaui riviera-riviera terkemuka di Eropah, akan tercapai," kata beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan