Hotel Digesa Denda Pelanggan Membazir Bufet Ramadan

Diterbitkan: Isnin, 30 Mei 2016 6:17 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pengusaha hotel atau restoran yang menawarkan hidangan bufet berbuka puasa agar mengenakan denda ke atas pelanggan yang membazir sepanjang bulan Ramadan ini.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata tindakan tersebut perlu kerana pembaziran merupakan budaya yang merugikan selain ia menjejaskan kemanisan ibadah puasa.

"Selain mendenda pelanggan, hotel juga boleh mengedarkan makanan (makanan yang tidak disentuh) kepada mereka yang memerlukan seperti pelajar, golongan gelandangan, rumah kebajikan atau dihantar ke masjid," katanya pada sidang media "Elak pembaziran bufet Ramadan, pihak berkuasa tempatan diminta kuatkuasa denda" di sini Isnin.

Beliau berkata, pengusaha juga boleh menyediakan alternatif lain seperti membungkusnya agar pelanggan boleh membawa pulang makanan yang tidak habis dimakan.

"Sebagai langkah untuk mengawal dan mengurangkan pembaziran ini, saya cadangkan agar kerajaan wujudkan garis panduan dan polisi berhubung pembaziran makanan dan menubuhkan satu jawatankuasa untuk kendalikannya," katanya.

Nadzim berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jumaat lepas bagi mencari kaedah terbaik mengurangkan pembaziran di bulan Ramadan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: pembaziran , Ramadan , hotel

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan