RUU: Pengamal Media Perlu Lapor Maklumat Tepat - Salleh

Diterbitkan: Sabtu, 28 Mei 2016 11:18 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan para pengamal media tempatan supaya sentiasa menyampaikan maklumat tepat dan tidak mengelirukan rakyat.

Ini kerana, ada pihak media menyiarkan berita yang belum lagi diketahui kesahihannya sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, katanya.

Sebagai contoh, Salleh berkata isu pembentangan usul Rang Undang-Undang(RUU) Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 oleh Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Salleh berkata rang undang-undang itu bukanlah hukum hudud seperti disiarkan akhbar.

"Maklumat itu tidak benar sama sekali. Apa yang berlaku ialah pindaan ke atas undang-undang syariah, selain ia juga satu usul persendirian dan dalam sistem demokrasi yang kita amalkan memang dibolehkan mengemukakan usul persendirian dan terserah pada kesesuaian sama ada konkrit atau tidak," katanya.

Salleh berkata demikian ketika berucap melancarkan secara rasmi siaran Bernama Radio di Kota Kinabalu Sabah menerusi frekuensi FM107.9.

Dalam pada itu, Salleh berkata walaupun media mempunyai persaingan untuk menyampaikan maklumat dengan pantas, namun, kesahihan berita perlu diberi keutamaan agar rakyat mendapat maklumat yang betul dan tidak menimbulkan salah faham.

Mengenai isu tuntutan Filipina ke atas negeri Sabah, Salleh berkata perkara itu tidak perlu dibahaskan lagi kerana sudah jelas bahawa rakyat Sabah memilih untuk berada dalam Malaysia.

"Kita tidak pernah mengiktiraf tuntutan (Filipina) ke atas Sabah kerana rakyat Sabah memilih untuk berada dalam Malaysia," katanya.

Pada Rabu, bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte dilaporkan berikrar untuk meneruskan tuntutan ke atas Sabah. -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan