Pembinaan Pagar Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand Masih Peringkat Kajian

Diterbitkan: Khamis, 26 Mei 2016 11:30 PM

Mustafa Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Cadangan membina pagar keselamatan sepanjang 656km di sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Perlis hingga Kelantan masih di peringkat kajian, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Keselamatan KDN, Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata pembinaan pagar keselamatan yang bertujuan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan akan dilaksanakan secepat mungkin sebaik sahaja kajian tersebut selesai.

"Pembinaan pagar keselamatan itu tidak ditangguhkan tetapi masih di peringkat kajian. Kita masih menunggu keputusan hasil kajian yang dijalankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kekangan utama sekarang adalah melibatkan bentuk muka bumi dan kewangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Program 1 Aman Week: Bersama Mencegah Jenayah Peringkat Kontinjen Kelantan 2016 di Pusat  Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini, Khamis.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

Mustafa berkata mengikut perancangan awal, pembinaan fasa pertama pagar keselamatan itu akan dilaksanakan di Perlis dan akan diikuti Kedah, Perak dan Kelantan.

Sempadan Malaysia-Thailand dianggarkan sepanjang 656km namun hanya 111km sahaja yang berpagar. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: KDN , pagar keselamatan , Malaysia-Thailand

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan