RUU Hudud Hanya Terpakai Kepada Umat Islam Di Kelantan - Zahid - Berita Semasa | mStar

RUU Hudud Hanya Terpakai Kepada Umat Islam Di Kelantan - Zahid

Diterbitkan: Khamis, 26 Mei 2016 6:02 PM

Ahmad Zahid Hamidi.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berkaitan pelaksanaan hukum hudud hanya terpakai kepada orang Islam di Kelantan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata RUU tersebut bukan untuk mengubal undang-undang baharu tetapi berkaitan dengan kuasa-kuasa Mahkamah Syariah untuk melaksanakan hudud di negeri pimpinan PAS.

"Ia hanya untuk menaik taraf Mahkamah Syariah dan undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya membentangkan RUU Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 pada pagi Khamis.

Pindaan itu jika diluluskan akan membolehkan kerajaan Kelantan melaksanakan hukum hudud kecuali hukuman mati bagi mereka yang didapati bersalah di bawah undang-undang Syariah.

Usul berkenaan telah disenaraikan sebanyak dua kali sebelum ini dalam aturan mesyuarat dan akhirnya dibentangkan pada Khamis.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengambil ketetapan usul itu boleh dibentangkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 14 (2)  dan 15 (1).

Usul itu diluluskan tetapi Hadi meminta perbahasan mengenai RUU itu ditangguhkan pada Oktober ini.

Ini adalah percubaan kali ketiga Hadi untuk membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat sejak tahun lalu.


Tags / Kata Kunci: hukum hudud , PAS , Kelantan , Ahmad Zahid Hamidi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan