Akta Khusus Untuk Aksem Tingkat Kawalan Keselamatan Akan Diwujudkan - TPM

Diterbitkan: Selasa, 24 Mei 2016 2:16 PM

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memeriksa perbarisan kehormat anggota-anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam pada majlis pelancaraan logo Aksem, Selasa.

(Ubah saiz teks)

BUKIT KAYU HITAM: Satu akta khusus untuk Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) bagi menguatkuasakan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand akan diwujudkan, yang dijangka dibentangkan di Parlimen penghujung tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan adanya akta baharu itu nanti ia akan memperkasakan Aksem dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan kawalan sempadan.

"Draf awal telah disediakan penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri dan kita akan perincikan dengan Bahagian Draf Perundangan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum kita lakukan kerjasama dengan kerajaan negeri yang bersempadanan dengan Thailand sebelum dibawa ke Parlimen.

"Kita perlu dapat maklum balas kerajaan negeri dan rakyat kerana kita nak pakai undang-undang ini untuk tempoh panjang, bukannya singkat dan nanti perlu diubah suai pula," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Aksem di Kompleks Aksem Bukit Kayu Hitam di sini, Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, buat sementara, Aksem kini beroperasi secara pentadbiran berlandaskan punca kuasa Arahan Majlis Keselamatan Negara.Beliau berkata, pewujudan akta baharu itu membolehkan Aksem bergerak sendiri dengan lebih menyeluruh dan kawalan sempadan akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Ketika ditanya mengenai pembinaan pagar sempadan baharu bagi menggantikan pagar lama yang dibina sejak 1970-an, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan melihat daripada pelbagai sudut sebelum ia dibina.

"Kita tidak boleh pandang soal kos semata-mata, tapi lihat berapa banyak masalah kita dapat selesaikan terutamanya berkaitan penyeludupan dadah, senjata serta barangan bersubsidi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr AhmadZahid Hamidi melancarkan logo Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam, Selasa. Hadir sama Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim (kanan) dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tiga kanan).

Sempadan Malaysia-Thailand dianggarkan sepanjang 646 kilometer, namun hanya 111 kilometer sahaja yang berpagar.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengumumkan nama baharu Aksem yang sebelum ini dikenali sebagai Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia kepada Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.Ahmad Zahid juga mengumumkan pelantikan Senior Asisten Komisioner Datuk Mohamad Ismail sebagai Ketua Pengarah Aksem yang pertama. 

Mohamad sebelum ini adalah Ketua Staf Pasukan Khas Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Penubuhan Aksem diumumkan Ahmad Zahid tahun lepas, dianggotai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

Ahmad Zahid berkata, bagi mengelakkan berlaku sebarang masalah khususnya kawalan keselamatan yang longgar di kawasan sempadan, pegawai dan anggota di sempadan akan ditukarkan tiga hingga enam bulan sekali.

"Kita tahu akan jadi masalah kepada keluarga, tapi ia mungkin boleh diatasi.. Soal keselamatan tidak boleh dikompromi," katanya. 

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, sejak Aksem beroperasi pada tahun lalu, agensi itu mencatatkan peningkatan jumlah nilai rampasan barangan iaitu RM42.7 juta berbanding RM19.3 juta pada 2014.

"Ia baru dalam tempoh setahun Aksem dilaksanakan.. ertinya kalau usaha dipertingkatkan, saya yakin banyak lagi kejayaan yang kita akan peroleh.

"Pada 2016 (sehingga 15 Mei), Aksem telah mengadakan 7,251 operasi dan berjaya merampas barangan seludup bernilai lebih RM15 juta antaranya melibatkan barangan seperti beras, minuman keras dan dadah," katanya.

Beliau menjelaskan, menyedari tindakan penguatkuasaan merupakan elemen penting bagi memastikan keselamatan dan kawalan di sempadan negara, kerajaan memutuskan supaya jabatan dan agensi penguat kuasa yang bertugas di sempadan agar bekerjasama menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). 

Ahmad Zahid turut meminta Thailand bekerjasama erat dari aspek perkongsian maklumat dan kepakaran dalam memastikan sempadan negara terjaga.

"Namun untuk menghulurkan kerjasama, kita perlu menterjemahkan dan bekerjasama dalam soal mendapatkan butiran pelan tindakan. Kita perlu tahu kawasan mana kita perlu bekerjasama," katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran Aksem itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, dan Naib Gabenor Songkhla, Selatan Thai, Anuchit Traku Imutita.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Aksem , Ahmad Zahid Hamidi , Bukit Kayu Hitam

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan