Jawatankuasa Induk Pastikan Agenda Kerajaan Negeri Kedah Lancar - Ahmad Bashah

Diterbitkan: Ahad, 22 Mei 2016 2:56 PM

Ahmad Bashah Md Hanipah.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Sebuah jawatankuasa induk akan dibentuk bagi memastikan agenda yang dirancang kerajaan negeri berjalan dengan lancar, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata, jawatankuasa induk itu yang akan dipengerusikan oleh dirinya sendiri akan memantau jawatankuasa kecil yang akan melaksanakan setiap perancangan dan agenda yang telah diatur.

Katanya, semua pihak perlu berkerja keras bagi memastikan setiap perancangan untuk rakyat dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan berjalan dengan lancar sebelum menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

"Saya yakin dalam berbaki tempoh dua tahun ini, setiap perancangan yang dilakukan oleh kerajaan negeri pada hari ini dapat dilaksanakan menerusi permuafakatan dengan semua pihak.

"Beberapa projek besar seperti Padang Terap-The Rubber City, Taman Sains dan Teknologi Kedah dan litar lumba telah dimuktamadkan dan telah menerima peruntukan untuk pembinaanya," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat 100 Hari Pentadbiran Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, Ahad.

Ahmad Bashah berkata, rakyat Kedah boleh mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai perancangan, agenda dan projek yang dirancang oleh kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat menerusi aplikasi Kedah Apps.

Anggota Dewan Undangan Negeri Bakar Bata itu dilantik sebagai Menteri Besar Kedah Ke-12 pada 4 Februari lepas bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang meletak jawatan.

Selepas 100 hari menerajui pentadbiran kerajaan negeri, yang dibantu oleh lapan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah, Ahmad Bashah mahu membina negeri ini sebagai Kedah yang gagah, dengan tema muafakat.

Beliau yang menyampaikan amanat 100 hari pentadbiran Menteri Besar Kedah di hadapan 2,000 penjawat awam di negeri ini turut berikrar dan memberi jaminan "hak rakyat tidak tergadai dan maruah negeri tidak diperjudi".

Ahmad Bashah berkata, prinsip Muafakat Kedah merangkumi muafakat sosial dan kemasyarakatan, ekonomi, pentadbiran dan politik dengan kerajaan negeri mengamalkan dasar pintu terbuka.

"Era kerajaan negeri menguasai segala-galanya telah berakhir dan kerajaan perlu responsif dan proaktif, tidak sekadar menunggu aduan sebaliknya harus keluar mendekati isu berbangkit untuk diambil tindakan," katanya.

Ahmad Bashah berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Majlis Permuafaatan NGO Kedah (MAPAN) yang berperanan sebagai rakan kongsi kerajaan bagi membolehkan lebih banyak isu rakyat diketengahkan.

Selain itu, katanya program pelancongan Discover Kedah 2016 akan diteruskan pada tahun hadapan dengan penambahan program yang lebih segar dan menarik.

Selain Pulau Langkawi, katanya kerajaan negeri akan mempromosikan beberapa destinasi pelancongan di tanah besar bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini tahun hadapan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan membuka semula kawasan pelancongan yang telah ditutup sebelum ini seperti Tasik Pedu, yang akan membolehkan penduduk setempat menjana pendapatan tambahan.

Antara perancangan lain adalah pelaksanaan Pusat Tuisyen Barakah Kedah pada 1 Jun depan di 15 kawasan Parlimen melibatkan 600 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajran Malaysia (SPM), penubuhan Akademi Dato Ahmad Basri (ADAB) untuk menggilap bakat muda dalam sukan bola sepak, Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) kepada 100,000 kumpulan sasar dan pembangunan daerah. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Ahmad Bashah Md Hanipah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan