Nikmati Masa Berkualiti Menerusi Kempen Makan Malam Tanpa Telefon Bimbit

Diterbitkan: Jumaat, 20 Mei 2016 5:44 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keghairahan menggunakan gajet elektronik terutama telefon bimbit, tanpa mengira masa kini menjadi antara punca kurangnya komunikasi dalam kalangan anggota keluarga.

Menyedari masalah itu, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan Focus On The Family dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara(LPPKN) mengadakan kempen 'Makan Malam Tanpa Telefon Bimbit' bagi memastikan adanya interaksi sesama anggota keluarga.

Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail berkata kempen itu bertujuan mengelakkan ketagihan internet dalam kalangan anggota keluarga dan mengeratkan hubungan silaturrahim ketika mereka menjamu selera.

"Kesejahteraan sesebuah keluarga merupakan pemangkin kepada kemakmuran negara kita dalam memperkasakan struktur ekonomi serta taraf hidup masyarakat," katanya selepas melancarkan kempen itu di sini, Jumaat.

Beliau berkata kolaborasi strategik itu dilihat mampu membantu anggota keluarga merapatkan hubungan kekeluargaan dengan baik di samping menghabiskan masa berkualiti bersama.

Kempen bermula hari ini sehingga 30 Nov depan adalah bagi menyokong sambutan Hari Keluarga Sedunia bulan ini, dan Hari Keluarga di Malaysia pada November ini.

Bagi menjayakan kempen itu, sebanyak 30 restoran mengambil bahagian dengan memastikan pelanggan mereka dapat menikmati makan malam tanpa diganggu telefon bimbit. 

Pelanggan akan dibekalkan dengan sebuah kotak kosong oleh pengurusan restoran bagi menempatkan telefon bimbit masing-masing, dan diberikan kad roda yang mengandungi topik untuk memulakan interaksi antara anggota keluarga.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Focus On The Family, Lee Wee Min berkata pihaknya telah mendapat kerjasama 30 restoran di sekitar Lembah Klang termasuk A Pie Thing, Mango Chili dan The Hungry Hog. 

"Kempen ini menyasarkan 5,000 keluarga atau lebih 20,000 orang sebagai individu yang akan memperoleh manfaat sepanjang kempen ini.

"Sebagai perintis kempen, kami mahu setiap keluarga menjadikan waktu makan lebih bermakna. Jangan rugikan masa kualiti bersama keluarga dengan gajet elektronik yang sentiasa di tangan," katanya. --Bernama


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan