Hukuman Sebatan, Penjara Beri Pengajaran Buat Banduan Muda

Diterbitkan: Jumaat, 20 Mei 2016 11:08 AM

Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

MARANG: Penjara tiga tahun dan dua sebatan, hukuman yang diterima di tirai besi kerana mengedar dadah itu cukup memberi pengajaran kepada seorang banduan muda supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Taufik (bukan nama sebenar), 21, dari Dungun berkata dia terjebak dalam kancah pengedaran dadah seawal usia 16 tahun akibat terpengaruh dengan rakan sebaya dan mendapat upah yang agak lumayan.

"Saya berhenti sekolah masa umur 16 tahun. Mula-mula saya hanya ikut kawan dan kami diupah oleh pengedar untuk mengedar dadah kepada pembeli. Memang bagi remaja macam saya duit adalah segala-galanya sebab masa tu saya masih muda dan itulah masa untuk saya 'enjoy'.

"Saya ditangkap tiga tahun lalu dan dimasukkan ke Penjara Marang ini. Memang hukuman yang saya terima cukup membuatkan saya insaf, hanya Allah yang tahu betapa sakitnya masa menerima hukuman sebat dan saya hanya meraung kesakitan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Hijrah Kasih Sekolah Integriti 2016 di Penjara Marang semalam.

Program tiga hari yang disertai 78 banduan berusia 18 hingga 21 tahun itu dirasmikan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia, Wan Ramdzan Wan Mamat.

Turut hadir Timbalan Pengarah Seksyen Pemulihan dan Pendidikan Ibu Pejabat Penjara Malaysia Penolong Kanan Komisioner Mat Rasid Jahlil dan Pengarah Penjara Negeri Terengganu Penolong Kanan Komisioner Ahmad Saidi Hamzah.

Taufik, anak kedua daripada empat beradik, berkata menjalani kehidupan sebagai banduan muda di tirai besi memberi 1001 sinar baharu buat dirinya dan banduan lain.

"Di sini saya diajar untuk menjalani kehidupan yang lebih baik. Saya diberi pendidikan di Sekolah Integriti ini dan saya juga diajar menjadi seorang muslim yang baik. Saya diajar solat dan mengaji, kalau dulu saya solat jarang-jarang tapi kini tak lagi," katanya.

Sementara itu, banduan cemerlang sekolah tersebut Faiz (bukan nama sebenar), 21, dari Kuantan, Pahang berkata diberi peluang menimba ilmu di sekolah tersebut memberi peluang kedua buat dirinya untuk membuktikan kemampuannya sebagai anak sulung dalam keluarga meskipun dipenjara akibat kesilapan yang pernah dilakukannya.

"Saya pernah berhenti sekolah masa tingkatan tiga dan memang saya menyesal kerana mengabaikan pendidikan semasa berada di luar. Peluang kedua untuk bersekolah dan mengambil peperiksaan saya gunakan sebaik mungkin untuk membuktikan kepada ibu saya bahawa saya juga boleh berjaya.

"Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh keputusan 2A, 2B, 1C dan 4D dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu dan saya berharap ada institusi pengajian tinggi yang dapat terima saya untuk melanjutkan pengajian," katanya yang bercita-cita untuk menjadi usahawan.

Faiz, yang dipenjarakan dua tahun lalu atas kesalahan mencuri kenderaan, berkata selain sokongan keluarga, dia turut mengharapkan penerimaan masyarakat luar terhadap banduan sepertinya untuk menjalani kehidupan seperti insan lain sebaik sahaja dibebaskan November ini.

"Saya mengaku saya pernah buat silap dan apa yang saya lakukan itu adalah kekhilafan saya...saya sangat berharap masyarakat di luar menerima saya seadanya untuk saya jalani kehidupan seperti biasa.

"Pihak Penjara juga banyak membantu saya menguruskan permohonan kemasukan universiti melalui 'online' dan memang saya menaruh harapan yang sangat tinggi untuk menyambung pelajaran sebab saya nak mulakan hidup baharu selepas ini," katanya.

Sementara itu, Wan Ramdzan berkata pihaknya berharap ada antara banduan muda dari sekolah tersebut mendapat tempat di institusi pengajian tinggi swasta selepas dibenarkan keluar kelak.

"Semuanya bergantung kepada keputusan mereka (banduan) dan setakat ini ada penghuni yang dah keluar mendapat tempat di pusat pengajian dan mendapat kerja yang baik sebab mereka banyak berubah dan belajar daripada kesilapan lalu.

"Setakat ini tiada lagi banduan yang dah keluar dari sekolah ini yang masuk balik ke sini atas kesilapan sama dan ini membuktikan keberkesanan sekolah dan program yang dijalankan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan