Azmin Nafi Minta Adun PAS Letak Jawatan - Berita Semasa | mStar

Azmin Nafi Minta Adun PAS Letak Jawatan

Diterbitkan: Khamis, 19 Mei 2016 7:02 PM

Azmin Ali

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Azmin Ali menafikan memberi kata dua kepada exco PAS supaya meletak jawatan atau melupakan hasrat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar bulan depan.

Katanya fokus beliau kini ialah mengadakan perbincangan dengan pelbagai parti pembangkang untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

"Saya akan adakan mesyuarat dengan Parti Amanah Negara hari ini. Kata dua? Tak ada seperti itu. Ia tidak benar. Fokus kami adalah untuk membincangkan mengenai kerusi berkenaan dan ia belum selesai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini, Khamis.

Menteri Besar itu diminta mengulas laporan bahawa beliau telah meminta anggota exco Selangor daripada PAS untuk meletakkan jawatan jika parti itu berkeras untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Menurut laporan itu, Azmin mahu PKR bertanding di kerusi tersebut dan bukannya PAS atau Amanah.

Ditanya sama ada PAS akan kekal dalam pentadbiran negeri jika ia bertanding kerusi itu, Menteri Besar Selangor berkata: "Jangan terus membuat kesimpulan."

Tags / Kata Kunci: Azmin Ali , PAS
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan