RTM Tidak Berminat Siar Debat 1MDB - Salleh

Diterbitkan: Selasa, 17 Mei 2016 5:05 PM

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata RTM tidak berminat untuk menyiarkan siaran langsung debat mengenai isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh mana-mana individu.

Beliau berkata perbahasan mengenai isu berkaitan dengan 1MDB adalah tidak relevan kerana siasatan berhubung syarikat itu telah selesai dilakukan oleh pihak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara.

"Pada saya tidak ada isu yang perlu dibahaskan dalam 1MDB apabila PAC telah buat penyiasatan dan bentangkan di Parlimen.

"Jika ada pihak yang hendak berbahas boleh berbuat demikian dalam sidang Parlimen kerana RTM tidak berminat untuk siarkan secara langsung debat ini," katanya kepada pemberita di Parlimen di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap permintaan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP, Tony Pua hari ini yang meminta pihak RTM atau TV3 menyiarkan siaran langsung perbahasan antara beliau dan Presiden 1MDB Arul Kanda.

Bagaimanapun Salleh berkata stesen penyiaran lain adalah terbuka untuk menyiarkan sesi perbahasan itu secara langsung.

Katanya isu yang berbangkit berhubung 1MDB pada masa kini hanya berkaitan perbalahan perniagaan antara syarikat itu dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang tidak perlu dibahaskan kerana ia adalah permasalahan perniagaan antara dua buah syarikat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan