Impian Kanak-Kanak Hidap Kanser Mata Naiki Helikopter Tercapai

Diterbitkan: Selasa, 17 Mei 2016 3:34 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Hasrat seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit kanser mata untuk menaiki helikopter polis akhirnya tercapai.

Yusaidinnor Bakari, 6, yang disahkan menderita penyakit kanser mata sejak lebih setahun lepas ternyata teruja dan gembira kerana diberi peluang menaiki helikopter polis bersama ibunya, Maimunah Ghani di sini.

Menjadikan watak 'Spiderman' sebagai idolanya, anak bongsu daripada 10 adik-beradik itu hadir di pangkalan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah bersama ibunya.

"Syok (seronok)... Saya mahu naik lagi. Cantik bila lihat pemandangan bandar Kota Kinabalu dan pulau dari atas (helikopter)," katanya selepas menaiki helikopter itu pada Selasa.

Semasa menaiki helikopter itu, Yusaidinnor dan ibunya dibawa meronda di sekitar kawasan Kota Kinabalu dan pulau berdekatan selama 40 minit sebelum dibawa ke hospital bagi menjalani rawatan susulan.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer berkata impian kanak-kanak itu direalisasikan dengan kerjasama PDRM dan Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia yang berusaha merealisasi hasrat Yusaidinnor yang kini dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Kota Kinabalu.

"Program penerbangan ihsan ini merupakan program pertama kali membabitkan PDRM Sabah atas usaha persatuan ini. Kita sentiasa membuka pintu sekiranya ada lagi mana-mana individu tertentu yang mahu menjadikan hasrat mereka tercapai seperti adik Yusaidinnor," katanya kepada pemberita di sini.

Tags / Kata Kunci: Yusaidinnor Bakari , PDRM , Kanser Mata

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan