Pesawat TUDM Terhempas: Bapa Lega Anak Selamat

Diterbitkan: Selasa, 17 Mei 2016 9:14 PM

SELAMAT...Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Leftenan Mohd Hakimi Hairi, 24 dibawa keluar dari bilik kecemasan untuk menjalani rawatan selanjutnya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Selasa. Mohd Hakimi bersama jurulatih, Mejar Nazrul Hafiz Zaimi terselamat selepas pesawat latihan Aermacchi MB339CM terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan dekat sini, tengah hari Selasa. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: "Terkejut bila dapat berita anak. Tapi lega lepas dapat bercakap dan lihat sendiri keadaan dia".

Itu reaksi Khairi Yusof, 47, bapa kepada Leftenan Mohd Hakimi Hairi, 24, yang cedera selepas pesawat latihan Aermacchi MB339CM yang dinaikinya terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan dekat sini tengah hari Selasa.

Khairi yang bekerja sebagai pemandu lori berkata anak sulungnya yang menetap di Kuala Lumpur menghubungi telefon bimbitnya pada 2 petang bagi memaklumkan kejadian itu dan memberitahu Mohd Hakimi dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

"Saya sebenarnya semasa itu berada di Gebeng kerana dalam perjalanan pulang ke rumah di Kemaman (Terengganu) selepas selesai melakukan urusan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuantan.

"Terkejut mendengar berita itu. Tanpa buang masa, saya berpatah semula ke hospital dan segera mencari anak di sini," katanya kepada pemberita semasa ditemui di HTAA.

Khairi berkata berdasarkan pemerhatian, anak kedua daripada tiga beradik itu cedera pada bahagian kaki kiri dan sedang menunggu keputusan x-ray, selain mengalami luka-luka di bahagian badan.

"Saya syukur sangat bila nampak anak selamat, sedar dan boleh berbual. Tidak nampak begitu trauma dengan kejadian itu," katanya.

Khairi berkata anaknya memang bercita-cita untuk menjadi juruterbang sejak kecil dan beliau merestui pilihan anaknya.

Pada kejadian kira-kira 12.54 tengah hari itu, pesawat yang dinaiki Mohd Hakimi dan jurulatihnya Mejar Nazrul Hafiz Zaimi terhempas akibat kerosakan teknikal semasa melakukan latihan penerbangan.

Nazrul Hafiz bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Menurut Penguasa Kanan Bomba II Bahagian Operasi Pahang Ashrul Riezal Asbar, pesawat itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan kedua-dua anggota tentera itu dibawa keluar menggunakan helikopter TUDM pada 1.37 tengah hari.

Sementara itu Nazrul Hafiz yang ditemui di bilik x-ray HTAA berkata beliau berpendapat kejadian yang berlaku adalah 'asam garam' kerjaya pilihannya dan tidak akan menyebabkannya serik untuk terbang semula.

"Biasa kerja seperti ini, ajal maut di tangan Tuhan. Saya tak akan rasa trauma (dengan pengalaman ini) walaupun ini kali pertama saya keluar dari pesawat mengunakan kaedah kerusi injal," katanya.

Nazrul Hafiz juga memuji tindakan pantas orang ramai, pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang serta pasukan kesihatan yang tangkas dalam menghulurkan bantuan sebaik sahaja pesawat itu terhempas.
Tags / Kata Kunci: pesawat terhempas , TUDM

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan