Asing Sisa Pepejal: Penguatkuasaan Kompaun Bermula Jun Ini

Diterbitkan: Isnin, 16 Mei 2016 3:32 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bermula Jun ini, pemilik kediaman yang gagal membuat pengasingan sisa pepejal di rumah akan dikenakan kompaun, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata bagi premis bertanah, pemiliknya akan dikenakan kompaun sebanyak RM50 untuk kesalahan pertama, RM100 bagi kali kedua dan RM500 untuk kesalahan berikutnya.

Bagi premis bertingkat, kadar kompaun yang akan dikenakan ke atas Badan Pengurusan Bersama adalah sebanyak RM100 bagi kesalahan pertama, diikuti RM200 dan RM500 untuk kesalahan kedua dan ketiga.

"Pelaksanaan ini merupakan sebahagian daripada Pelan Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang disusun kementerian ke arah mewujudkan suasana kehidupan yang kondusif, lestari dan memberikan kesejahteraan kepada penduduk setempat. 

"Namun, saya amat berharap masyarakat dapat melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca sebagai tanggungjawab bersama, sekali gus mengelak kompaun ini dikenakan," katanya dalam ucapan pada perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Bermula 1 September tahun lepas, kementerian menguatkuasakan Akta 672, iaitu Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang mewajibkan pemilik kediaman mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori seperti kertas, plastik dan lain-lain.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata untuk sembilan bulan pertama pelaksanaannya, iaitu sehingga 31 Mei, mereka yang tidak mengasingkan sisa pepejal dengan betul hanya akan dinasihat dan diingatkan untuk melakukannya dengan cara yang betul.

Negeri yang terlibat dengan pelaksanaan itu ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata sebanyak 1,099 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) telah dilawati pihaknya menerusi 'Ops Sejahtera Komuniti' bagi mengesan kesalahan penyewaan kepada pihak ketiga, tunggakan bayaran sewa dan penyalahgunaan unit rumah. 

Daripada jumlah itu, katanya 377 unit didapati telah tertunggak sewaan manakala 68 disewakan kepada pihak ketiga dan notis peringatan dan notis penamatan telah diberikan kepada penyewa yang ingkar.

Sejak dilancarkan pada Mac lepas, kementerian melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) telah menjalankan empat 'Ops Sejahtera Komuniti' iaitu di PPR Jalan Sagindai, Sabah, PPR Pudu Ulu, Kuala Lumpur, PPR Taman Dahlia, Langkawi, Kedah dan PPR Taman Sri Stulang, Johor, katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: sisa pepejal , Abdul Rahman Dahlan , kompaun

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan