Ancaman Kepupusan Penyu

Diterbitkan: Sabtu, 14 Mei 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

DUNGUN: Maskot ikonik Terengganu - penyu adalah haiwan yang diancam kepupusan.

Namun ironinya ia tidak dibunuh atau diburu tetapi menjadi mangsa akibat pemburuan satu lagi penghuni laut iaitu ikan pari.

Pukat haram dipasang untuk menangkap ikan pari di sepanjang pantai di negeri ini.

Ada di antaranya diletakkan pada jarak sehampir 30 meter dari pantai hingga menyebabkan penyu terperangkap dan lemas.

Berbaki sebulan sehingga musim pembiakan reptilia ini berakhir, Jabatan Perikanan Negeri berkata dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 30 haiwan itu dilaporkan mati.

Berdasarkan rekod pada 2014, sebanyak 47 ekor haiwan itu dilaporkan mati.

Sementara itu sepanjang tahun 2015, terdapat 59 kematian direkodkan.

Dengan 30 ekor sudah dilaporkan mati setakat ini tahun ini, jumlah keseluruhan bagi 2016 dijangka menjadi lebih tinggi.

Penyu yang menjadi ikon negeri Terengganu semakin pupus akibat menjadi mangsa penangkapan ikan pari.

Pegawai pemuliharaan marin kanan WWF-Malaysia, Sharifah Ruqaiyah Syed Mustafa berkata beliau telah menerima laporan terdapat lebih 20 kematian di daerah Kemaman dan Kerteh serta 10 hingga 15 kematian di Setiu setakat ini tahun ini.

Pihak pemuliharaan bimbang mungkin lebih banyak kematian yang tidak dilaporkan.

Lebih membimbangkan mengenai kurangnya penguatkuasaan terhadap penggunaan pukat haram oleh nelayan.

Sesetengah daripada mereka kini lebih "berani" untuk menandakan kedudukan jaring ini dengan pelampung.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan, Nawi Mohamad mengesahkan peningkatan kematian bilangan penyu terutamanya penyu hijau.

"Kebanyakan kematian ini adalah disebabkan oleh nelayan menggunakan pukat walaupun diharamkan oleh kerajaan untuk menangkap ikan pari. Jaring dengan saiz 10 inci dan ke atas adalah diharamkan," katanya dalam temu bual di sini.

Walaupun pukat dengan lubang jaring bersaiz kecil antara 15cm atau 20cm tidak diharamkan, nelayan gemar menggunakan pukat lebih besar - 30cm atau 35cm untuk menangkap ikan pari lebih besar yang mencecah sehingga RM10 sekilo pada harga borong.

Di beberapa pasaraya besar di Kuala Lumpur, ikan pari amat popular terutamanya bagi menu ikan bakar dan masakan kari yang boleh mencecah RM28 sekilo.

Malang bagi penyu apabila ikan pari turut ditemui di sepanjang pantai terutamanya di kawasan terumbu karang, dalam pasir dan antara batu-batu pada ketika ini.

"Kematian haiwan ini pada dasarnya didorong permintaan tinggi terhadap ikan pari.

"Penyu adalah hasil tangkapan tidak berguna bagi nelayan kerana rakyat Malaysia tidak makan daging haiwan itu.

"Penangkapan ikan pari membawa pulangan hasil yang banyak walaupun berdepan risiko. Tiada motivasi untuk berhenti menangkap ikan pari," kata sumber yang pakar dalam bidang pemuliharaan penyu.



Tags / Kata Kunci: Penyu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan