186,000 Anggota Rela Ditamatkan Keahlian

Diterbitkan: Khamis, 12 Mei 2016 1:15 PM

Ahmad Zahid Hamidi.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sebanyak 186,000 daripada 3.8 juta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di seluruh negara akan dikeluarkan daripada jabatan itu menerusi program pemutihan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata proses itu bertujuan mengelakkan wujud unsur negatif termasuk pembabitan dalam jenayah dan masalah disiplin di kalangan anggota biasa atau yang mendapat kedudukan sebagai ahli bersekutu atau kehormat.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata tindakan berterusan yang bermula Januari lalu telah mengenal pasti 34 daripada 186,000 anggota Rela terbabit dalam kes jenayah bersabit kesalahan mengikut Kanun Keseksaan.

"Rela harus lebih serius, kalau hendak tambah ahli, jabatan ini harus juga melihat kualiti anggota yang diambil. Kualiti penting dan bukannya kuantiti, kerana kita tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat dan Bersekutu Rela kepada 39 Pemimpin Muda Kesatria Muda Keselamatan (KMK) bagi Exco Puteri Umno di sini Khamis.

Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin merupakan antara 39 yang menerima Pemakaian Pangkat Kehormat dan Bersekutu Rela daripada timbalan perdana menteri.

Menurut Zahid, langkah mengekalkan kualiti sentiasa terjamin adalah bagi memastikan anggota Rela serius dalam melaksanakan tugas sebagai barisan kedua pertahanan dan keselamatan negara selepas polis dan tentera.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan golongan belia menyertai Rela bagi menyemai semangat kesukarelawan untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara.

Katanya setakat ini daripada jumlah 3.8 juta anggota Rela, 1.01 juta terdiri daripada anggota berumur 30 tahun dan ke bawah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rela Datuk Kamariah Mohd Noah berkata proses pemutihan itu dilakukan terhadap anggota yang sudah lama berkhidmat dan anggota baharu sebelum diserap sebagai anggota Rela.

Katanya 186,000 anggota yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun itu bukan sahaja mempunyai masalah disiplin atau terlibat dalam jenayah tetapi juga termasuk mereka yang meninggal dunia serta memberi alamat yang tidak betul.

Menurut Kamariah, proses saringan pemutihan dilakukan dengan pemeriksaan di Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Penjara Malaysia sebelum diberi kad kuasa.

"Kalau dahulu, sebaik sahaja mohon, terus automatik dapat kad kuasa. Sekarang tidak. Kita akan periksa latar belakang mereka dengan tiga jabatan itu. Sekiranya didapati bersalah, kita akan tarik keanggotaaan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Kamariah menegaskan proses pemutihan amat penting kerana Rela benar-benar ingin pastikan mana-mana anggotanya tidak menyalahgunakan kursus belajar tembak dengan mengancam keselamatan negara. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Ahmad Zahid Hamidi , Rela

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan