Abdul Aziz Tapa Tokoh Melayu Terbilang Umno 2016

Diterbitkan: Khamis, 12 Mei 2016 11:40 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) menyampaikan anugerah khas Tokoh Melayu Terbilang kepada Veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa (dua, kanan) pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun Umno ke-70 pada Khamis malam. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Aziz Tapa dianugerahi Tokoh Melayu Terbilang Umno 2016 pada majlis sambutan Hari Umno ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis malam.

Anugerah itu yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno, sebagai menghargai sumbangan Abdul Aziz kepada negara dan parti.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Abdul Aziz berkata beliau tidak menyangka menerima anugerah tersebut dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Umno kerana menghargai sumbangannya dalam parti itu.

"Saya berharap UMNO akan terus berjuang, untuk memimpin bangsa untuk tahun-tahun akan datang," katanya ringkas.

Abdul Aziz, 93, berasal dari Jasin merupakan anggota Umno yang aktif pada era 70-an dan 80-an dan pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya anggota Dewan Negara (1975-1977), Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka (1978-1982) dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Nyalas (1978-1982).

Dilahirkan pada 13 Jun 1923, beliau memulakan kerjaya sebagai askar sukarela di Rejimen Polis Kem Port Dickson pada 1940 sebelum menjadi guru antara tahun 1945 hingga 1974 dengan jawatan terakhir sebagai guru besar di Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Gajah, Melaka.

Penglibatannya dalam politik pula bermula seawal sebelum negara mencapai kemerdekaan iaitu dengan menyertai Persatuan Melayu Semenanjung Johor cawangan Melaka, sebuah gerakan anti-Malayan Union yang diketuai oleh Datuk Onn Jaafar pada tahun 1946 dan kemudian menganggotai UMNO selepas parti itu ditubuhkan.

Beliau turut memegang beberapa jawatan dalam UMNO antaranya sebagai Bendahari UMNO cawangan Merlimau pada 1955, Timbalan Ketua Umno Bahagian Jasin (1974), Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin (1978), Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka (1978-1986).

Selain daripada politik, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan lain antaranya Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan (1972-1996), Ahli Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara (1976-1988), Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1978) dan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Amanah Rakyat (1975-1977).

Abdul Aziz yang mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Maznah Lasim dan dikurniakan sembilan anak sebelum ini juga pernah menerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan/Negeri Melaka pada 1986, Anugerah Tokoh Budaya Negeri Melaka (2003) dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1427H/2006M Negeri Melaka (2006).

Tags / Kata Kunci: Abdul Aziz Tapa , Umno

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan