PRK Kuala Kangsar, Sungai Besar: Mesyuarat Khas SPR Jumaat Ini

Diterbitkan: Selasa, 10 Mei 2016 11:34 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor pada Jumaat ini.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah pun memaklumkan kepada SPR secara rasmi mengenai kekosongan dua kerusi Parlimen itu pada pukul 6 petang Isnin.

"SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan PRK di kedua-dua bahagian pilihan raya tersebut pada 13 Mei 2016 (Jumaat) pada pukul 9.30 pagi.

"Mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh kekosongan kerusi-kerusi Parlimen berkenaan, hari penamaan calon, pengundian awal, hari mengundi dan daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRK itu serta persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakannya," katanya dalam kenyataan media, Selasa.

Mesyuarat itu diadakan selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa telah wujud kekosongan luar jangka bagi mengisi kekosongan dua kerusi berkenaan.

Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat itu yang diadakan di Dewan Serbaguna, Menara SPR, Putrajaya.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar (P067) dan Sungai Besar (P093) kosong selepas penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon terlibat dalam nahas helikopter pada 5 Mei di Sebuyau, Sarawak.

Sementara itu, Pandikar Amin menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa mengesahkan pihaknya telah mengemukakan pemberitahuan kepada Pengerusi SPR mengenai tragedi helikopter yang mengorbankan dua Ahli Parlimen terlibat.

"Selaras Fasal (1) Perkara 54 Perlembagaan, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan kawasan P.067 Kuala Kangsar dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR bahawa ada kekosongan," katanya.





iklan

Kolumnis

iklan

Iklan