Laporan Awal Siasatan Nahas Helikopter Dalam Tempoh Sebulan - Liow

Diterbitkan: Sabtu, 7 Mei 2016 2:37 PM

Liow menunjukkan lokasi penemuan dua mayat nahas helikopter yang terhempas pada sidang media di Pusat Kawalan Udara, Jabatan Penerbangan Awam, Sabtu. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Laporan awal siasatan nahas helikopter Eurocopter AS350 oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara akan dikeluarkan dalam  tempoh sebulan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata siasatan dilakukan bagi mengetahui punca nahas di Sungai Batang Lupar di Sebuyau, yang mengorbankan Timbalan Menteri Perusahaan  Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan dua yang belum diikenal pasti manakala tiga lagi masih hilang.

"Banyak faktor...jadi kami perlu melihat semua aspek sebelum mengulas sama ada laluan yang digunakan itu selamat atau sebaliknya.

"Pada hari kejadian, Khamis, terdapat empat hingga lima helikopter menggunakan laluan sama...ada yang berada di hadapan dan mendarat dengan selamat," katanya pada sidang media di pejabat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Kuching di sini, Sabtu.

Beliau berkata kementerian juga telah memanggil pasukan penyiasat daripada penyedia perkhidmatan helikopter Airbus bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Liow berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai DCA sehingga kini telah melakukan pencarian di kawasan seluas 2,850km persegi pada Jumaat.

"Misi pencarian hari ini (Sabtu) akan meliputi kawasan seluas 875km persegi di sepanjang Sungai Batang Lupar sehingga ke Sri Aman," katanya sambil menjelaskan kawasan pencarian lebih kecil disebabkan tumpuan pencarian lebih berfokus kali ini.

Liow turut mengesahkan pasukan SAR telah menemukan mayat mangsa kedua pukul 8.34 pagi Sabtu di Sungai Belebat iaitu anak Sungai Batang Lupar.

"Namun begitu identiti mayat tersebut masih belum dikenal pasti oleh pihak berkuasa dan kini berada di hospital untuk proses bedah siasat," katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai dan masyarakat tempatan yang mempunyai maklumat atau berada di sekitar kawasan pencarian untuk menghubungi pihak berwajib sekiranya menemui sebarang penemuan berhubung insiden ini dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis DAerah Sri Aman di talian 083322121.

Selain Noriah, lima lagi mangsa ialah suaminya, Asmuni Abdullah, ketua setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Sundaran Annamalai, Ahli Parlimen Kula Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Helikopter itu berlepas dari Betong ke Kuching pada pukul 4.12 petang Khamis sebelum dilaporkan hilang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan