Tiga Kawasan Hanya Ada Seorang Pengundi Awal

Diterbitkan: Selasa, 3 Mei 2016 7:45 AM

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memunggah naik kotak-kotak berisi kertas undi ke dalam helikopter untuk dihantar ke pusat mengundi di kawasan-kawasan pedalaman Sarawak di Hangar Hornbill Skyways pada Isnin. Undi awal bermula Selasa manakala undi biasa pada 7 Mei. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Tiga kawasan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) hanya mempunyai seorang pengundi awal bagi setiap kawasan berkenaan.

Setiap pengundi terbabit akan mengundi di pusat pengundian, masing-masing di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Samarahan bagi kawasan Sadong Jaya, IPD Simunjan bagi kerusi Gedong, serta Kompleks Polis Tabuan Jaya untuk kawasan Demak Laut.

Setiap saluran mengundi berkenaan akan dikendalikan oleh seorang pegawai pilihan raya tanpa tiga kerani pengundian, seperti kebiasaannya.

Tiga pusat pengundian itu, yang boleh dihubungkan melalui jalan raya, akan dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang, Selasa.

Tiga puluh tiga daripada 79 pusat mengundi akan ditutup pada 2 petang dan selebihnya 5 petang.

Sejumlah 24,604 pengundi awal akan mengundi pada Selasa.

Menurut senarai daripada SPR, kawasan Stakan mempunyai jumlah pengundi awal paling banyak, seramai 7,055 orang, diikuti Bukit Sentosa (3,163), Nangka (3,043), Batu Kawah (1,241) dan Sri Aman (1,075).

Jumlah keseluruhan pengundi yang layak mengundi pada PRN kali ini, adalah seramai 1,138,650 dengan 1,113,522 pengundi biasa, sementara 25,022 pengundi awal terdiri daripada tentera, polis dan PGA serta pasangan, dan 106 pemilih tidak hadir luar negara (pengundi pos) bagi 82 kawasan DUN.

Jumlah berkenaan tidak termasuk pengundi awal bagi kerusi Bukit Kota dan Bukit Sari, yang dimenangi tanpa bertanding oleh calon Barisan Nasional. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan