Azmin Dilihat Cuba Cabar Hak Kerajaan Sarawak - Pro BN

Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2016 7:21 PM

Azmin Ali.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang berkeras mahu memasuki Sarawak pada Selasa seolah-olah cuba mencabar hak kerajaan Sarawak yang melarangnya berbuat demikian, kata Presiden Pakatan Ngo Pro Barisan Nasional (BN) Zulkarnain Mahdar.

Beliau berkata Sarawak mempunyai hak untuk menghalang mana-mana individu memasuki negeri itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia ketika Sarawak dan Sabah bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Katanya sekiranya Menteri Besar Selangor itu tetap berkeras meneruskan niatnya memasuki Sarawak sedangkan beliau dilarang berbuat demikian dari esok hingga 7 Mei ini, ia akan menimbulkan kebencian rakyat Sarawak terhadapnya.

"Ini kerana tindakan Menteri Besar Selangor itu seolah-olah mencabar kuasa imigresen yang menjadi hak kerajaan negeri Sarawak. Isu imigresen perkara yang cukup sensitif oleh sebilangan besar penduduk asal Sarawak.

"Apabila Azmin dilihat cuba mencabar undang undang berkaitan hak imigresen ini, dikhuatiri akan menyebabkan tindak balas yang melampau terhadap Azmin oleh penduduk asal Sarawak," katanya dalam kenyataan di sini pada Sinin bagi mengulas kenyataan Azmin itu.

Jumaat lepas, kerajaan Sarawak membenarkan Azmin masuk ke negeri itu tetapi hanya memberikan kebenaran terhad iaitu mesti keluar sebelum 2 Mei dan tidak dibenarkan masuk semula ke negeri itu sehingga 7 Mei.

Sehubungan itu, Zulkarnain menasihatkan Azmin supaya tidak bersikap sombong dan menunjukkan keegoannya kepada rakyat Sarawak sebaliknya mencontohi Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang telahpun dibenarkan memasuki Sarawak setelah membuat permohonan.

"Budaya politik di Sarawak masih dipengaruhi oleh budaya politik kesederhanaan dan aman. Justeru mendesak kerajaan negeri berkaitan isu imigresen ... satu tindakan kurang bijak yang dilakukan oleh Azmin," katanya. -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan