Pelajar Dakwa Retak Tulang Siku Ditendang Rakan Sekelas

Diterbitkan: Ahad, 1 Mei 2016 7:48 PM

Suami isteri K.Marimuthu,39,(kiri) dan C.Nagarani,38, (kanan) menunjukkan kecederaan anak mereka M.Kavi Varman, 14, yang retak siku kanan ekoran ditendang dari belakang oleh dua rakan kelas di sebuah sekolah menengah di Pokok Sena pada 25 April lalu, pada Ahad. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua mendakwa mengalami retak tulang siku kanan selepas ditendang dari belakang oleh dua rakan kelasnya di sebuah sekolah menengah di Pokok Sena pada 25 April lalu.

M. Kavi Varman, 14, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi selepas waktu rehat semasa dia sedang berdiri di dalam kelas sebelum ditendang dari belakang oleh dua rakan kelasnya itu.

"Selepas ditendang, saya terjatuh dan siku bahagian tangan kanan terkena bucu meja hingga menyebabkan saya sakit untuk menggerakkan tangan dan salah seorang daripada mereka turut memulas tangan saya.

"Saya menjerit namun rakan kelas yang lain tidak membantu jadi saya terus berlari ke bilik guru besar untuk membuat laporan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Ladang Jabi, Pokok Sena di sini Ahad.

Katanya, seorang guru perempuan membawanya ke Klinik Kesihatan Pokok Sena sebelum diminta untuk menjalankan pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Nerang dan hasil pemeriksaan doktor mendapati tulang sikunya retak dan telah diberi cuti sembilan hari.

Pelajar itu mendakwa ini bukan pertama kali dia dibuli oleh rakan sekelasnya yang dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas dia memaklumkan kepada guru mata pelajaran Sains tentang ketidakhadiran rakan sekelasnya itu ke makmal Sains kira-kira dua bulan lalu.

"Mereka mula mengganggu saya selepas dirotan guru kerana ponteng kelas dan kali pertama, mereka baling kerusi hingga menyebabkan kaki kanan lebam dan luka.

Selain itu mereka turut mengugut saya dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak sekolah namun tiada tindakan yang diambil".

K. Marimuthu, 39, berkata, dia mendapat tahu kejadian yang menimpa anaknya selepas menerima panggilan daripada guru yang membawa anaknya ke hospital pada pukul 3 petang.

"Pihak sekolah telah dua kali datang berjumpa saya bagi menyelesaikan kes ini tanpa melibatkan polis tetapi saya sudah tidak dapat bersabar lagi kerana ini bukan kali pertama anak saya diganggu.

"Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Pokok Sena pada 27 April lalu sebelum diminta untuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar. Selepas ini, saya harap anak dapat ditukarkan ke sekolah lain kerana dia takut untuk kembali ke sekolah terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata, seorang daripada pelajar terbabit telah ditahan untuk siasatan dan telah dibebaskan atas jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah (JPN) Datuk Azuyah Hassan menafikan kejadian itu sebagai kes buli kerana difahamkan pelajar terbabit telah terjatuh ketika berlari di dalam kelas selepas tersepak bucu kaki meja hingga menyebabkan meja terbalik dan menghempapnya.

"JPN dimaklumkan pihak sekolah telah mengambil tindakan dengan membawa pelajar terbabit ke Klinik Kesihatan Pokok Sena sebelum ke Hospital Kuala Nerang untuk pemeriksaan dan pihak hospital mengesahkan pelajar terbabit mengalami keretakan tulang di bahagian siku kanan," katanya dalam kenyataan.

Katanya, waris telah bersetuju untuk hadir pada majlis permuafakatan yang akan diadakan oleh pihak sekolah pada 3 Mei ini bagi membincangkan perkara itu. - Bernama

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan