Cerun Bukit Di Teluk Bahang Digondol

Diterbitkan: Ahad, 1 Mei 2016 11:33 AM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

GEORGE TOWN: Tidak disedari orang ramai, pembersihan hutan secara besar-besaran dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini di cerun bukit di Teluk Bahang berhampiran kawasan empangan.

Tindakan itu turut dikhuatir dilakukan tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Tinjauan The Star mendapati aktiviti kuari sedang rancak dijalankan di kawasan tersebut.

Penduduk di perkampungan nelayan Teluk Bahang juga tidak menyedari kawasan cerun bukit telah ditarah kerana pemandangan dari jalan utama ditutupi dinding adang dan pokok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang Datuk Shah Headan Hussain Ayob Shah turut tidak menyedari mengenai perbuatan tersebut sehingga dimaklumkan The Star dengan maklumat dari Google Earth Pro.

Satu pasukan dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang terdiri daripada empat anggotanya melakukan pemeriksaan di cerun bukit tersebut kira-kira pukul 9.30 pagi Sabtu.

Pasukan tersebut yang diketuai seorang jurutera yang hanya ingin dikenali sebagai Hanafi enggan memberikan sebarang komen.

The Star memberi maklumat berhubung pembersihan hutan secara haram itu kepada MBPP.

Ketika dihubungi, seorang pegawai kanan MBPP berkata mereka sedang menyiasat kegiatan pembersihan hutan tetapi enggan menjelaskan dengan lebih terperinci mengenainya.

Pembersihan hutan yang membabitkan kawasan seluas 30 hektar itu dilakukan berhadapan bekas tapak Mutiara Beach Resort Pulau Pinang yang telah ditinggalkan.

Aktiviti tersebut dianggarkan berkeluasan kira-kira satu pertiga daripada saiz empangan berkenaan.

Paparan skrin yang diambil dari Google Earth Pro menunjukkan berlaku aktiviti pembersihan hutan di cerun bukit dekat Teluk Bahang.

Seorang pegawai Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata kawasan cerun bukit itu bukan sebahagian daripada kawasan tadahan air.

Difahamkan tanah tersebut milik seorang hartawan terkemuka dari Kulim.

Beliau dipercayai mempunyai pelbagai aktiviti perniagaan di dalam mahupun luar negara.

Menurut sumber, pada mulanya tanah seluas 10 hektar itu sepatutnya dijual kepada sebuah universiti swasta bagi pembinaan kampus cawangan tetapi perjanjian gagal dimuktamadkan.

Jelas sumber itu lagi, hartawan itu mungkin bekerjasama dengan sekumpulan pelabur dari China untuk membina banglo di lereng bukit berkenaan.

Rumah banglo tersebut akan mempunyai pemandangan indah menghadapi pantai Teluk Bahang termasuk perkampungan nelayan dan Taman Negara Pulau Pinang.

Pada masa ini terdapat kilang melukis batik dan Taman Tema Escape di sepanjang Jalan Teluk Bahang, kira-kira 0.5 kilometer dari kawasan cerun bukit yang diteroka itu.

Shah Headan berkata beliau mengetahui mengenai kewujudan aktiviti kuari di lokasi tersebut dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) membina sebuah hotel di sepanjang jalan tersebut.

Namun beliau tidak menyedari bahawa berlakunya aktiviti pembersihan hutan secara haram.

Keadaan di atas cerun bukit dekat Teluk Bahang.

Beliau berkata kawasan yang menjadi lokasi kepada aktiviti kuari itu milik persendirian.

Sumber berkata aktiviti kuari dan tanah di sekitarnya dijual kepada hartawan tersebut beberapa tahun yang lalu.

Penduduk kampung yang tinggal berhampiran kawasan pembersihan lereng bukit itu berkata aktiviti kuari itu sudah dihentikan kira-kira 10 tahun lalu.

"Saya percaya ada seseorang yang membeli tanah tersebut. Lori dilihat kerap keluar masuk melalui jalan sempit di perkampungan berkenaan sejak beberapa tahun lalu," kata seorang penduduk kampung.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada pemilik tanah itu mempunyai permit untuk menjalankan aktiviti kuari tersebut.

Lesen dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang.

Yang Dipertua MBPP, Datuk Patahiyah Ismail dan Setiausahanya, Ang Aing Thye tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai perkara tersebut.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) , S.M Mohamad Idris terkejut kerana aktiviti pembersihan hutan tidak diketahui pihak berkuasa.

"Kerajaan negeri menekankan bandaraya Pulau Pinang yang bersih dan hijau. Apa hala tuju kerajaan negeri dengan aktiviti penerokaan hutan di sana sini?," soalnya.

Beliau berkata aktiviti penerokaan di cerun bukit itu menunjukkan pihak berkuasa tidak ketat dalam melaksanakan penguatkuasaan.





iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan