Kertas Undi Awal, Pos Siap Dicetak - SPR

Diterbitkan: Jumaat, 29 April 2016 10:14 PM

Takun Sunggah melihat peti undi lama dan baharu yang dipamerkan sempena Pameran Semarak Pilihan Raya yang bermula 11 April lalu. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Kesemua kertas undi bagi pengundi awal dan pos bagi 80 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) sudah siap dicetak.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Datuk Takun Sunggah berkata ia melibatkan 24,604 kertas undi awal dan 104 kertas undi pos luar negara yang dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) cawangan Kuching.

"Proses mencetak kertas undi bermula sejak malam hari penamaan calon (25 April), dan kini kertas undi untuk pengundi awal dan pengundi pos telah siap seratus peratus," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. 

Sementara, kertas undi untuk pengundi biasa yang akan mengundi pada 7 Mei ini sedang dicetak oleh PNMB, katanya. Mengikut senarai daftar pemilih yang dikeluarkan SPR, sebanyak 65 dari 80 kawasan DUN, mempunyai pengundi awal terdiri daripada anggota tentera, polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka.

SPR menetapkan 3 Mei sebagai tarikh mengundi awal, sementara 25 April merupakan tarikh tutup permohonan undi pos luar negara, manakala 27 April untuk tarikh tutup permohonan undi pos dalam negara membabitkan anggota polis, tentera dan petugas media, serta 1 Mei adalah tarikh tutup permohonan undi pos dalam negara bagi petugas SPR.

Menurut senarai daripada SPR, kawasan DUN akan mempunyai jumlah pengundi awal paling banyak seramai 7,055 orang, diikuti Bukit Sentosa (3,163 pengundi), Nangka (3,043), Batu Kawah (1,241) dan Sri Aman (1,075). 

Kawasan Batu Lintang pula mempunyai pengundi pos paling banyak seramai 13 orang, diikuti Pujut sembilan dan Pelawan enam pengundi. 

Jumlah keseluruhan pengundi yang layak mengundi pada PRN kali ini, adalah seramai 1,138,650 dengan 1,113,522 pengundi biasa, sementara 25,022 pengundi awal terdiri daripada tentera, polis dan PGA serta pasangan, dan 106 pemilih tidak hadir luar negara (pengundi pos) bagi 82 kawasan DUN.

Calon BN Dr Abdul Rahman Ismail yang bertanding kerusi Bukit Kota, mempunyai16,437 pengundi, serta calon BN Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan di Bukit Sari, yang mempunyai 12,418 pengundi, menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon, Isnin lepas. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Kertas Undi , Pos

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan