Sultan Selangor Bimbang Pengaruh Ajaran Sesat

Diterbitkan: Khamis, 28 April 2016 6:40 PM

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah merasmikan Multaqa Pegawai Masjid, Guru Takmir dan Guru KAFA Peringkat Negeri Selangor 2016 di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK di Shah Alam, Khamis. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap pengaruh ajaran sesat yang masih gagal dibanteras sepenuhnya di negeri ini.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda tidak mahu rakyat Selangor terjerumus dalam perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah dan amalan, kesan daripada pengaruh halus yang dilakukan oleh individu sesat dan berkepentingan.

Lebih membimbangkan, titah baginda, ialah apabila suasana kehidupan, perpaduan, kesatuan dan kerukunan hidup bermasyarakat semakin hilang.

"Perasaan saling hormat-menghormati, bersaudara dan berkasih sayang semakin terhakis, disebabkan sentimen politik yang tidak berkesudahan, manakala budaya fitnah dan suka mempamerkan keaiban orang lain semakin berleluasa dalam masyarakat.

"Fitnah dalam era dunia teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan ini, menjadi duri dalam daging kepada kesejahteraan hidup bermasyarakat. Negara dan empayar yang kuat juga boleh musnah kerana fitnah," titah baginda semasa menutup Program Multaqa Pegawai Masjid, Guru Takmir dan Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) peringkat Selangor di sini Khamis.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin bertitah, program multaqa yang dianjurkan hari ini tepat pada masanya sebagai usaha serta platform kepada JAKIM, MAIS dan JAIS dalam menyampaikan isu-isu semasa dan terkini berhubung kepentingan umat Islam.

"Beta ingin menegaskan, telah sampai masanya untuk kita semua membuka mata dan memberi perhatian mendalam serta berbincang dan bertukar-tukar pendapat seterusnya mencari penyelesaian terhadap isu-isu semasa melibatkan umat Islam sejak akhir-akhir ini," katanya.

Sultan Selangor bertitah, baginda juga sentiasa mengingatkan pihak MAIS dan JAIS supaya memastikan institusi masjid menjadi zon aman dan pusat ibadah yang kondusif serta tidak digunakan sebagai tempat berpolitik.

Guru-guru KAFA juga hendaklah mengajar dengan baik dan memastikan murid-murid mendapat pelajaran yang berkualiti, titah baginda.

"Bagi memastikan nasihat beta dapat direalisasikan, pihak MAIS, JAIS dan semua pegawai tadbir Agama Islam daerah hendaklah memastikan hanya penceramah bertauliah sahaja dibenarkan menyampaikan kuliah atau ceramah.

"Nazir-nazir masjid serta pengerusi-pengerusi surau pula hendaklah mematuhi Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) yang dikeluarkan oleh MAIS, dalam memanggil penceramah-penceramah untuk berceramah di masjid dan surau masing-masing," titah baginda.

Sultan Sharafuddin dalam pada itu berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM yang bersedia membantu kerajaan negeri Selangor dalam menyediakan peruntukan hampir RM38 juta untuk bayaran elaun seluruh imam masjid kariah di negeri ini dan juga elaun mengajar guru-guru takmir, elaun guru KAFA dan penolong pegawai penyelaras takmir masjid.

Terdahulu, baginda berkenan menerima cek bernilai RM37.96 juta sumbangan Kerajaan Persekutuan yang disampaikan Jamil Khir serta melancarkan buku 'Tokoh-Tokoh Ulama Melayu Nusantara'.

Sementara itu, Haris dalam ucapannya berkata sumbangan Kerajaan Persekutuan itu secara tidak langsung membantu kerajaan negeri yang menyediakan peruntukan tahunan berjumlah RM79.4 juta, selain sumbangan tahunan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM28 juta kepada JAIS.

Beliau berkata keseluruhan peruntukan berjumlah RM145.4 juta itu akan digunakan untuk membayar elaun 6,860 guru KAFA, 727 imam masjid-masjid kariah, 121 guru takmir dan sembilan penolong pegawai penyelaras takmir daerah.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 6:51 PM

Sherry Ibrahim Tak Hilang, Masih Laris

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan