Najib Jejaki Warisan Ditinggalkan Ayahanda 50 Tahun Lalu

Diterbitkan: Khamis, 28 April 2016 5:13 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) menerima cenderahati daripada Ketua Kampung Triboh Albert Moni Igang (kiri) berupa gambar Allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein ketika melakukan tinjauan mesra di Kampung Triboh yang juga dikenali sebagai Kampung Tun Razak Bukit Semuja, Serian, Khamis.

(Ubah saiz teks)

SERIAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjejaki langkah Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan mengunjungi Kampung Triboh dekat sini, sebuah kampung Iban yang dirasmikan oleh ayahandanya 50 tahun lepas.

Pada 13 November 1966, Allahyarham, timbalan perdana menteri, ketika itu, ketika itu, melawat kampung tersebut dan seterusnya kampung itu diberi nama baharu iaitu Kampung Tun Razak. 

Pada ketika itu, Tun Razak melancarkan Projek Penanaman Getah (Skim B)  di kawasan tersebut. 

Lawatan Najib ke kampung itu, Khamis ditemani Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, yang juga Anggota Parlimen Serian, dan calon Barisan Nasional (BN) Bukit Semuja, John Ilus. 

Setiba di kampung itu, Najib melihat batu asas perasmian kampung itu yang mencatatkan kunjungan ayahandanya di situ.

"Pada 13 November 1966, satu tanggal yang mencatat sejarah di Kampung Triboh.

Ayahanda saya Tun Razak telah sampai ke kampung ini. Hari ini, giliran anakandanya pula. Sejarah berulang. 

"Kalau Tun Razak banyak jasa, saya pun nak meninggalkan budi dan jasa terutamanya kepada orang Sarawak yang ikhlas menyokong Barisan Nasional," katanya di majlis ramah mesra bersama penduduk kampung itu yang terletak di Dewan Undangan Negeri Bukit Semuja dekat sini. 

Dalam ucapannya, Najib berkata BN sebagai satu keluarga besar yang komited komited untuk terus membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat Sarawak. 

"Kita mempunyai agenda sama iaitu membawa lebih banyak perubahan dan pembaharuan kepada penduduk di negeri ini. Sehubungan itu, sokongan kepada BN penting untuk meneruskan pelaksanaan projek agar ia memanfaatkan rakyat negeri ini," katanya. 

Sebagai "Apai Besai Malaysia", Najib menyaran penduduk di negeri ini terus menyokong Apai Besai Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang terbukti dalam tempoh dua tahun sudah membawa pelbagai kemajuan di negeri ini. 

"Apai Besai Malaysia sentiasa sokong Apai Besai Sarawak dengan menyalurkan lebih peruntukan bagi membangunkan negeri Sarawak berbanding pembangkang yang hanya janji dan tidak membuat apa-apa," katanya.

Pada majlis itu, Najib meluluskan permohonan ketua kampung Triboh, Albert Moni Igang untuk menambahbaik Dewan Panglima Kalin di kampung itu, antara dewan yang tertua di daerah ini. --Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan