Tunggakan Gaji: CEO Rayani Air Diberi Tempoh Kurang 24 Jam

Diterbitkan: Selasa, 26 April 2016 10:41 AM

(gambar kiri) Ravi Alagendrran dan (gambar kanan) Zulkalnain Azdan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran diberi tempoh kurang 24 jam untuk melunaskan tunggakan gaji bagi Mac untuk kira-kira 400 pekerjanya yang berjumlah RM1.5 juta.

Ia turut membabitkan tuntutan terhadap Ravi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rayani Air bagi potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Zulkalnain Azdan yang mewakili sejumlah kakitangan syarikat itu berkata, beliau akan menunggu sehingga tengah malam Selasa untuk Ravi memenuhi tuntutan berkenaan.

“Kita beri tempoh sehingga hari ini untuk Ravi membayar gaji pekerjanya termasuk pemotongan KWSP. 

“Kita berharap Ravi mengambil perhatian dengan sewajarnya dan bertanggungjawab terhadap semua kakitangannya yang terkesan akibat gaji tertunggak,” katanya kepada mStar Online.

Jumaat lalu, Zulkalnain bersama sejumlah kakitangan Rayani Air membuat tuntutan mengenai gaji tertunggak dan pemotongan KWSP, serta meminta Ravi melepaskan majoriti saham kepada pelabur baharu untuk menyelamatkan syarikat itu.

Zulkalnain berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Ravi sekiranya tunggakan itu gagal dilaksanakan.

Bagaimanapun Zulkalnain berkata, terdapat pertimbangan sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap Ravi kerana pemilik syarikat penerbangan itu mungkin masih berunding dengan pelabur untuk mendapatkan dana, antara lain bagi melunaskan tunggakan gaji pekerja. 

“Kalau Ravi dengan rendah diri sedia melepaskan jawatan CEO kepada saya, kenapa tidak dia merendah diri datang berjumpa kami untuk menyelesaikan kemelut ini?

“Ravi sebagai pemilik dan CEO Rayani Air perlu membuang ego dia ketika ini. Dia perlu bertanggungjawab dan kami sedia mengadakan perbincangan bersama,” tegas Zulkalnain.

Pada Isnin, mStar Online melaporkan bahawa Ravi tampil menawarkan jawatan CEO yang disandangnya kepada Zulkalnain bagi mengambil alih pengurusan operasi penerbangan patuh syariah itu.

Zulkalnain bagaimanapun menolak jawatan itu kerana berpendapat bahawa adalah lebih baik Ravi terus kekal berada dalam Rayani Air untuk memajukan syarikat itu bersama kakitangannya walaupun hanya sebagai pemegang minoriti saham.

Rayani Air yang memulakan operasi sejak Disember lalu merupakan syarikat penerbangan yang pertama di Malaysia beroperasi berlandaskan patuh syariah.

Pada 11 April lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan arahan pergantungan sementara Sijil Operator Udara Rayani Air selama tiga bulan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan