Perancangan Rapi Saksi Purata KDNK 5.6 Peratus Sejak 2010

Diterbitkan: Selasa, 26 April 2016 9:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perancangan rapi serta pemantauan berterusan menyaksikan Malaysia mencatat pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus sejak 2010 meskipun dalam kedudukan  ekonomi global yang mencabar sejak tahun-tahun kebelakangan ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pencapaian pertumbuhan ini sebenarnya harus kita banggakan kerana rata-ratanya banyak negara di rantau ini, bahkan negara-negara lain di dunia, tidak mampu mencapai pertumbuhan sebaik kita.

"Malahan, tahun 2015, Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan pertumbuhan terbaik di ASEAN," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Laporan Program Transformasi Negara 2015 di sini Selasa.

Najib mengutarakan lima petunjuk besar kejayaan NTP dalam tempoh sekitar 70 bulan bermula dengan Bajet 2010, bagi meletakkan ekonomi Malaysia pada trajektori yang tepat dan berdaya tahan.

Petunjuk besar pertama iaitu KDNK, yang menunjukkan tahap kedudukan  sesebuah negara, dengan pencapaian purata 5.6 peratus, menunjukkan ekonomi Malaysia berada dalam kedudukan sihat serta berupaya mencapai hasrat menjadi negara maju berdasarkan momentum sedia ada.

Petunjuk besar kedua ialah Disiplin Fiskal atau kebijaksanaan dan kemampuan sesebuah Kerajaan mengawal kedudukan kewangan negara, termasuk pengendalian hutang.

Najib berkata tahun demi tahun, kerajaan telah mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada serendah 3.2 peratus pada 2015 dan tahun ini, sasarannya 3.1 peratus.

"Apabila sesebuah negara seperti Malaysia mempunyai disiplin fiskal yang baik, maka, kos pinjaman kita adalah rendah. Lebih penting lagi, keyakinan pasaran akan terus berada pada tahap yang tinggi, berkait kedudukan kredit Malaysia," katanya.

Petunjuk besar ketiga pula iaitu Pendapatan Negara Kasar per Kapita yang merujuk kepada pendapatan-pendapatan terkumpul negara, hasil daripada antaranya, gaji, keuntungan syarikat dan pelaburan swasta.

"Berbanding tahun 2010, pendapatan negara kasar per kapita sekitar RM28,000, telah meningkat sebanyak 30 peratus menjadi lebih RM36,000 pada 2015," kata beliau.

Petunjuk besar keempat ialah lebihan dagangan untuk 220 bulan berturut-turut dengan Malaysia mencatat nilai eksport yang melebihi nilai import sejak November 1997.

Perdana Menteri berkata Malaysia sebagai sebuah negara kecil berekonomi bebas tetap kekal berdaya tahan, malah pada Februari 2016 sahaja telah mencatat lebihan eksport sebanyak RM7.5 bilion.

Selanjutnya, petunjuk besar kelima ialah pengiktirafan badan-badan dan agensi-agensi penarafan luar negara terhadap Malaysia yang berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding 2010.

"Sebagai contoh, laporan 'Ease of Doing Business' oleh Bank Dunia, kita berada pada kedudukan ke-21 pada 2010, dan telah meningkat ke tangga ke-18 pada 2015.

"Bagi Laporan Daya Saing Global oleh Forum Ekonomi Dunia pula, kita berada di tangga ke-26 pada 2010, dan hasil usaha gigih kerajaan, Malaysia berjaya ditempatkan pada tangga ke-18 pada 2015," kata Najib.

Malaysia juga kini berada di tangga ke-9 dan menjadi satu-satunya negara pasaran pesat membangun dalam senarai 10 teratas dalam pembangunan Pasaran Kewangan oleh Ranking Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia 2015-2016.

Oleh itu, beliau berkata bagaimana mungkin sesiapa dapat menyangkal fakta-fakta dan nombor-nombor yang telah dipersahihkan, diperakukan dan diiktiraf oleh sekian banyak penaraf-penaraf berwibawa.

"Inilah masalahnya ... macam mana ada orang yang boleh tuduh dan mengatakan kononnya negara kita akan muflis dan membuat jangkaan sesuka hati bahawa ringgit akan jatuh ke nilai 4.8 berbanding dolar Amerika ... sedangkan, sekarang ringgit sudah mula mengukuh," tanya beliau.

Menurut Najib, ringgit telah mencapai tahap tertinggi pada 13 April 2016, iaitu 3.865 berbanding dolar Amerika, atau peningkatan sebanyak 11 peratus sejak akhir tahun 2015, menjadikannya mata wang yang mempamerkan prestasi terbaik pada 2016 di rantau Asia ini.

Tambahan lagi, setakat 22 April 2016 sahaja, saham Bursa Malaysia telah terjual kepada para pelabur luar negara bernilai RM6.4 bilion.

Satu lagi pencapaian berlaku pada 20 April tahun ini apabila Kerajaan berjaya menerbitkan Sukuk Global bernilai 1.5 bilion dolar Amerika dengan transaksinya terlebih langgan sebanyak 4.2 kali, kata Perdana Menteri. - BERNAMA


iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan